Malaysia Dateline

Hazmi sahkan lokasi pejabat projek kontroversi dengan kerajaan negeri Kelantan tidak wujud

Pemuda Amanah Kelantan sahkan pejabat projek karbon tidak wujud

Ketuanya, Hazmi Hassan memberitahu hal itu diketahui selepas turun menyiasat sendiri lokasi pejabat Climate Protectors Sdn Bhd di alamat B-5 , Plaza Mont Kiara, Mont Kiara di ibu negara semalam, seperti diperoleh daripada laman web https://climateprotector.org.

Kerajaan negeri Kelantan pada awal tahun ini dilapor memeterai perjanjian tersebut yang membabitkan seluas 396,000 hektar hutan simpan kekal iaitu 25 peratus jumlah keluasan negeri itu.

Majlis menandatangani MoU antara Menteri Besar dengan pihak syarikat terbabit awal tahun ini

Majlis menandatangani MoU antara Menteri Besar dengan pihak syarikat terbabit awal tahun ini

Projek yang kononnya bagi mengurangkan pengeluaran karbon daripada aktiviti pembalakan itu melibatkan konsesi selama 30 tahun seperti disahkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

“Saya dapati, pejabat itu tidak wujud. Saya telah naik ke tingkat 5 untuk pengesahan pejabat tersebut.

“Saya tidak faham bagaimana Kerajaan Negeri Kelantan boleh percaya pada syarikat yang menipu dan memberi alamat pejabat yang tidak wujud,” ujar Hazmi.

Terdahulu, beliau mempersoal pihak yang mengaut keuntungan mencecah RM17 juta dalam perdagangan karbon yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Menurutnya, sebanyak RM17 juta wang hasil pelaburan awam telah dikaut atas tujuan saham pelaburan itu dengan bersandarkan perjanjian antara Climate Protectors dengan kerajaan Kelantan.

“Ke mana wang itu pergi? Apakah kerajaan Kelantan sudah ‘diperdagangkan’ oleh syarikat tersebut bagi mengaburi mata orang awam dalam urusan pelaburan yang tidak diiktiraf ini?” soal Hazmi dalam satu kenyataan.

Lebih mengejutkan, jelas beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyenarai hitamkan syarikat terbabit selepas disyaki terbabit dalam skim penipuan matawang maya (Crypto Currency) melalui penggunaan EcoBit.

Sementara itu, tinjauan Malaysia Dateline di akaun Climate Protectors di Facebook mendapati syarikat yang gagal dikesan lokasinya itu hanya kali pertama memuat naik logo mereka pada 7 Januari lalu iaitu dua hari sebelum MoU dengan kerajaan negeri dimeterai.

Turut dimuat naik dalam media sosial itu, gambar majlis menandatangani perjanjian membabitkan sejuta ekar tanah hutan bagi “REDD Project”.

Selain itu, satu rakaman video pendek pula menunjukkan majis menandatangani perjanjian di Hotel Perdana, Kota Bharu yang dimuat naik pada 8 Februari lalu.

Walau bagaimanapun, setakat hari ini akaun tersebut hanya mendapat 38 likes sahaja sekaligus dilihat tidak sepadan dengan status syarikat yang terbabit dengan projek kos mega itu.

Kali terakhir syarikat itu mengemaskini statusnya di laman itu pada 14 Mac lalu dengan memaklumkan pihaknya tidak melantik Carbon Cash Bhd, Goal Green atau MAGTCC untuk menghasilkan karbon kredit atau sebarang bentuk urusniaga dengan syarikat tersebut.

Berita berkaitan:

http://malaysiadateline.com/index.php/berita-list/20-headline/9191-skandal-projek-karbon-sejuta-ekar-hutan-kelantan-pemuda-amanah-gesa-jawab-segera