Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH kesal Adun DAP pertikai tulisan jawi

Pemuda AMANAH Terengganu kesal dengan tindakan Adun Tras dari DAP Chow Yu Hui memfailkan permohonan untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang berhubung kewajipan penggunaan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan.

Ketuanya, Zamir Ghazali berkata, tindakan Yu Hui itu adalah biadap dalam usaha memperkasakan bahasa ibunda.

Beliau berkata, permohonan Yu Hui untuk mahkamah menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan itu tidak harus berlaku.

“Apatah lagi kita sudah melihat kesan sikap anti jawi oleh sesetengah pemimpin Cina telah membawa kepada ketidakharmonian antara kaum dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yu Hui dalam kenyataan hari ini berkata, permohonan tersebut difailkan semalam oleh peguamnya, M Manogaran, Jonathan and Chong Kar Yan di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Kata Yu Hui, kerajaan negeri Pahang dan kerajaan tempatan tidak harus memaksa orang ramai, terutama pemilik perniagaa, NGO atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan jawi di papan tanda mereka.

Zamir Ghazali

Mengulas lanjut, Zamir mengingatkan bahawa tulisan jawi adalah tulisan warisan orang Melayu yang merupakan kaum asal di negara ini.

“Tindakan mencabar usaha memperkasakan tulisan jawi adalah sikap biadap dan tidak masuk akal.

“DAP sendiri seharusnya memberi pengajaran kepada mana-mana pimpinan mereka yang sengaja bertindak menyimbah minyak ke dalam bara api perkauman,” tegasnya.

Beliau juga pendapat sia-sia langkah DAP yang memberi ruang kepada lebih ramai orang Melayu sebagai pemimpin parti tetapi ada individu seperti Yu Hui yang masih dibiar sesuka hati mencampuri hal yang boleh mengundang sensitiviti orang Melayu.

Tahun lalu, kerajaan negeri Pahang memutuskan semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan perlu menyertakan tulisan jawi dengan saiz yang sama dengan tulisan rumi.

Dasar itu dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu dan tindakan akan dikenakan kepada premis yang gagal berbuat demikian.

Chow Yu Hui