Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH kesal MP Pakatan Harapan terima Belanjawan 2021

Pemuda AMANAH Nasional melahirkan rasa kesal diatas tindakan Ahli Parlimen Pembangkang khususnya Pakatan Harapan di Dewan Rakyat sewaktu Dato’ Mahfuz Omar memohon undi belah bahagi dibuat daripada Yang Di Pertua Dewan Rakyat.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Taqiuddin Cheman berkata, hanya 13 orang Ahli Parlimen Pembangkang sahaja yang berdiri untuk membenarkan undian tersebut di jalankan

” Yang memerlukan sokongan 15 orang ahli parlimen,  akibatnya Belanjawan 2021 yang dibentangkan Perikatan Nasional lulus dengan mudah secara dasar.

“Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan sendiri mengakui dalam perbahasannya bahawa didalam Belanjawan 2021, enam tuntutan Pakatan Harapan langsung tidak disentuh oleh Menteri Kewangan dalam pembentangan belanjawan.

“Maka apakah justifikasi Pengerusi Pakatan Harapan mengarahkan ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021?

“Sikap Ahli-ahli Parlimen Pembangkang ini telah mengecewakan ramai penyokong dan rakyat yang menaruh harapan agar Belanjawan 2021 ditolak sekaligus menafikan Tan Sri Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen,” kata beliau.

Malahan katanya, bukanlah kali pertama dalam sejarah Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pembangkang menolak Belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan, walaupun mengetahui pembangkang tidak mempunyai majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

“Hatta sewaktu Umno menjadi pembangkang sekalipun menolak belanjawan yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan,” katanya.

Pemuda AMANAH juga merakamkan penghargaan kepada 13 Ahli Parlimen pembangkang yang berani menyatakan pendirian menolak Belanjawan 2021.

“Presiden dan Timbalan Presiden AMANAH sendiri telah berdiri sebelum itu untuk bersama-sama menyokong undi belah bahagi. Namun, menghormati arahan daripada Ketua Pembangkang, mereka duduk semula.

“Kami ingin mengingatkan kepada semua pimpinan utama Pakatan Harapan bahawa kedudukan semua parti dalam Pakatan Harapan adalah sama,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan semua keputusan penting yang dicapai dalam Pakatan Harapan seharusnya dibuat dalam semangat konsensus.

“Sekiranya semangat ini diteruskan, Pemuda AMANAH yakin Pakatan Harapan akan terus diterima oleh rakyat,” kata beliau.

Justeru, apa yang perlu menjadi keutamaan adalah Pakatan Harapan perlu mengukuhkan hubungan antara parti, meningkatkan komunikasi dan terus menggembeling segala usaha mengembalikan mandat rakyat.