Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Kota Marudu agih bekalan makanan kepada 50 keluarga

Pemuda Parti AMANAH Negara Kota Marudu, Sabah telah mengagihkan sumbangan keperluan asas kepada penduduk di sekitar daerah ini untuk fasa yang pertama semalam.

Ketua Pemudanya, Zaidi Jatil berkata, agihan sumbangan itu diberikan kepada warga emas, golongan orang kurang upaya, ibu tunggal dan kepada para petani dan nelayan yang kurang berkemampuan.

“Sumbangan ini saya telah serahkan kepada penerima-penerima di lima buah kampung dan melibatkan 50 keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kami memohon maaf kerana tidak semua dapat diberikan disebabkan dana kami agak terhad dan kami ambil maklum di peringkat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek sudah mengerahkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung untuk memberikan sumbangan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Zaidi menambah, selepas ini pihaknya akan mengagihkan semula untuk fasa yang kedua berdasarkan data maklumat penduduk kampung yang diperolehi.

“Justeru, saya berharap semoga lebih ramai pihak yang tampil memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Kepada kesemua penduduk di Daerah Kota Marudu sentiasa mematuhi arahan kerajaan dan seterusnya sentiasa diberikan kesihatan yang baik,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Kesejahteraan Sabah.