Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Kuala Selangor cadang jarak larangan merokok hingga 10 meter

 

Pemuda AMANAH Kuala Selangor mencadangkan kepada pihak kerajaan agar jarak bagi kawasan larangan merokok dipanjangkan hingga 10 meter, berbanding tiga meter demi kesihatan masyarakat di negara ini.

Ia susulan keputusan yang memihak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, berhubung Kes Permohonan Semakan Kehakiman yang mencabar perintah larangan merokok, dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Norman Naim Muhammad

Ketua Pemuda AMANAH Kuala Selangor, Norman Naim Muhamad Rani, bagaimanapun memuji inisiatif pihak kerajaan yang telah menetapkan jarak tiga meter bagi perokok yang mahu menghisapkan rokok di kedai makan atau restoran terbuka.

Katanya, kajian yang dijalankan penyelidik antarabangsa telah membuktikan asap rokok atau wap daripada rokok elektronik adalah terlalu halus yang membolehkan ia meresap ke dalam paru-paru seterusnya memberikan kesan kepada mereka di sekeliling.

“Namun kajian juga menunjukkan jarak 10 meter adalah paling selamat bukan sahaja di kawasan tertutup (indoor), malahan ia juga terpakai di kawasan yang sesak seperti tempat makan di bahagian luar kedai.

“Kalau boleh selepas ini, mungkin jarak larangan merokok itu boleh dipanjangkan lagi sehingga 10 meter sebelum kita nak mengharamkan rokok dan rokok elektronik (vape) secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Pemuda AMANAH Kuala Selangor datang ke Kompleks Mahkamah hari ini sebagai tanda sokongan kepada KKM yang diketuai oleh menterinya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dengan keputusan yang memihak kepada KKM hari ini, Norman menyifatkan pihak kerajaan sememangnya amat menitikberatkan hak golongan bukan perokok.

“80 peratus majoriti rakyat di negara ini tidak merokok. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Larangan Merokok ini adalah selari dengan Artikel 8, WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC).

“Ia bertujuan melindungi golongan awam daripada menjadi perokok pasif yang dinamakan perokok sekunder atau perokok tertier (iaitu menghidu asap dan bauan asap rokok atau wap vape),” katanya lagi.

Di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menolak permohonan tujuh individu tersebut berhubung perintah larangan merokok.

Muhammaed Haniff Khatri

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili pemohon-pemohon (perokok), manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili KKM.

Mohamed Haniff berkata, beliau akan  merayu terhadap keputusan mahkamah hari ini.

“Seperti mana yang telah disampaikan, jelas di dalam mahkamah terbuka, keputusan alasan lisan yang dibaca oleh yang arif di mana apa yang beliau maklumkan adalah dalam pendapat mahkamah, tidak ada apa-apa kemungkaran ataupun kegagalan perlembagaan dalam keputusan menteri tersebut.

“Beliau (hakim)  mengkhususkan kepada isu berkaitan dengan perokok masih boleh mengunjungi tempat makan untuk makan, tanpa mengambil kira isu yang dihujahkan adalah pengunjung ingin menikmati makanan sambil tabiat untuk hisap rokok di kawasan tertentu.

“Begitu juga beliau telah buat keputusan bahawa ini adalah munasabah kerana keputusan dibuat menteri tersebut adalah di bawah kuasa mereka.

“Jadi, perkara-perkara ini telah dihujahkan sebaliknya dalam mahkamah, dan kami berpendapat bahawa keputusan ini daripada apa yang didengar walaupun dengan alasan, awal-awal lagi, kami telah diberikan arahan oleh anak guam kami sekiranya keputusan tidak memihak kepada kami, maka untuk merayu dan kami akan menfailkan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan dan akan meminta mahkamah yang lebih tinggi untuk menganalisa keputusan ini sama ada ia boleh ditegakkan atau tidak,” ujar Mohamed Haniff.

Memetik laporan media tempatan pada 31 Disember tahun lalu, sebuah NGO yang baru didaftarkan dinamakan Pertahankan Hak Perokok memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar larangan merokok di premis makanan seluruh negara yang berkuatkuasa pada 1 Januari tahun ini.

Tujuh anggota pro-tem Pertahankan Hak Perokok adalah, Mohd Hanizam Yunus, Mohd Laisani Abdullah dan lima lagi menamakan Kementerian Kesihatan sebagai responden.

Semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Tetuan Haniff Khatri pada 31 Disember tahun lalu.

Mereka memohon mahkamah membatalkan larangan yang dikeluarkan KKM dan mahu mahkamah mengisytiharkan larangan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta perintah larangan terhadap KKM untuk menguatkuasakannya.