Pemuda AMANAH kutuk insiden rusuhan, rakyat Malaysia diingatkan jaga keselamatan

Pemuda AMANAH kutuk insiden rusuhan, rakyat Malaysia diingatkan jaga keselamatan
Penunjuk perasaan Indonesia bertembung dengan polis di luar bangunan Bawaslu di Jakarta, semalam. -Foto EPA

 

Indonesia sebagai negara yang sentiasa menjadi rakan strategik Malaysia perlu kekal aman bagi memastikan kestabilan serantau terpelihara, kata Ketua Pemuda AMANAH Nasional Mohd Sany Hamzan.

Beliau berkata, sebarang kekacauan yang boleh menjejaskan ekonomi negara dan keselamatan warga Malaysia di negara itu perlu dielakkan.

“Pemuda AMANAH Nasional juga ingin meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pihak berkuasa Indonesia dalam menangani kekacauan ini.

“Kami juga ingin mengingatkan dan menasihati rakyat Malaysia yang berada di lokasi-lokasi panas untuk berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan dari Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta pihak berkuasa Indonesia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sany Hamzan

Beliau mengulas insiden rusuhan yang mengorbankan 6 orang  dan 200 orang lagi  cedera  bertembungan antara penyokong Joko WIdodo dan Prabowo Subiantoyang yang merusuh selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) pada Selasa mengesahkan Jokowi mengalahkan jeneral bersara Prabowo dalam pilihan raya presiden diadakan pada 17 April lalu.

Justeru itu insiden tersebut dipandang serius Pemuda AMANAH dan berkata, rusuhan berlaku bukan menjejaskan nyawa malah ia juga mencalarkan imej Indonesia sebagai negara demokrasi yang berdaulat.

“Rusuhan yang bermula dari rasa tidak puas terhadap keputusan Pemilihan Umum Presiden seharusnya tidak berlaku di dalam iklim demokrasi yang matang.

“Pemuda AMANAH Nasional ingin menyeru semua pihak khususnya penyokong Prabowo untuk bersikap tenang dan menghormati keputusan yang telah diumumkan secara rasmi oleh Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia.

“Segala bantahan yang ingin dibuat mengenai salahlaku dan penyelewengan di dalam pilihanraya tersebut haruslah dibuat mengikut saluran rasmi yang sah.

“Mengambil iktibar peristiwa Reformasi 1998 yang mengorbankan ribuan nyawa, rakyat Indonesia seharusnya menghargai pengorbanan mereka yang terkorban dalam memastikan tertegaknya kerajaan yang demokratik.

Sebarang tunjuk rasa yang tidak berpaksikan undang-undang dan “bersifat anarki harus ditolak sekeras-kerasnya. Sebarang provokasi dan permainan sentimen khususnya agama perlu ditentang bagi mengelakkan anasir-anasir yang cuba mengambil peluang mencapai matlamat politik mereka,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (adun ) Taman Templer ini lagi.