Pemuda Amanah kutuk pelanggaran hak asasi etnik Rohingya

Pemuda Amanah Nasional (AMANAH) mengutuk pencerobohan dilakukan tentera junta yang berlangsung selama tiga hari yang membawa kepada ratusan kematian membabitkan etnik Rohingya di Myanmar.

Pemuda Amanah kutuk pelanggaran hak asasi etnik Rohingya

Pengarah Komunikasinya Khairol Najib Hashim berkata, kerajaan Myanmar di bawah pemerintahan Aung San Suu Kyi tidak berperikemanusiaan terhadap kejadian berlaku itu.

” Pemuda AMANAH menuntut agar Kerajaan Burma menghentikan sama sekali semua bentuk pencerobohan terhadap etnik Rohingya.
 “Kerajaan Burma harus bertanggungjawab atas pembunuhan yang disebabkan oleh tindakan ketenteraan yang membabitkan pembunuhan orang awam khususnya etnik Rohingya di Rakhine,” ujarnya dalam kenyataan yang dibacakan di hadapan kedutaan Burma hari ini.

Menurut Pemuda Amanah lagi, parti itu menolak sebarang bentuk keganasan, pencerobohan dan penganiayaan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

” Pemuda AMANAH benar-benar tidak senang dengan cara penerima Nobel Laureate, Aung San Suu Kyi bertindak balas terhadap isu ini dengan alasan berterusannya untuk tidak mengatasi dan mengutuk keganasan yang berlaku ke atas etnik Rohingya.

“Sebagai penerima Nobel Keamanan beliau tidak harus berterusan melakukan perbuatan memalukan ini.

 “Dalam hal ini, tidak ada keraguan bahawa Kerajaan Myanmar telah meninggalkan semangat kebersamaan ASEAN kerana mereka terus gagal menghentikan kekerasan terhadap sesama mereka.

“Oleh itu, dengan ini kami meminta Kerajaan Myanmar untuk menghormati undang-undang antarabangsa yang relevan, menegakkan keadilan dan hak asasi manusia, dan menamatkan usaha pembersihan etnik yang tidak bermoral yang dilakukan terhadap orang Rohingya,” ujarnya.

 {loadposition myposition} Pemuda Amanah turut menuntut  agar kerajaan Malaysia mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Myanmar berikutan keganasan yang sistematik diperlakukan terhadap Rohingya sekian lama.

“Pada masa yang sama, kami berharap rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama atau warna kulit untuk berkumpul dan memperlihatkan penolakan mereka terhadap cara Kerajaan Myanmar melayan etnik Rohingya.

“Tidak ada akidah atau budaya di dunia ini yang dapat membenarkan keganasan terhadap sesama manusia,” ujarnya.

Pemuda Amanah Rohingya 2