Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH lancar GEMPUR banteras judi, kartel daging

Pemuda AMANAH Nasional melancarkan Gerakan Memperkasa Ummah dan Rakyat (GEMPUR) selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah tidak acuh membanteras isu yang menyentuh kepentingan umat Islam terutama berhubung pembanterasan kartel daging.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, GEMPUR akan mengambil tanggungjawab memerangi kebejatan di bawah PN yang memandang enteng hal ehwal Islam, biarpun kerajaan terdiri daripada parti Islam dan Melayu.

“Justeru dengan penuh insaf bahawa segala kebobrokan ini wajar dihentikan hingga ke akar umbi, kami mengambil tanggungjawab untuk melancarkan ‘Gerakan Memperkasa Ummah dan Rakyat’ ringkasnya dipanggil GEMPUR.

“GEMPUR ini akan diselaras pergerakannya oleh Hishamuddin Ghazali yang akan bertindak selaku koordinator dalam memerangi kartel daging haram yang telah berakar selama 40 tahun;

“Ia turut disertai Khairul Ali, seorang aktivis muda yang akan menggerakkan pencerahan umat berkenaan aktiviti judi yang telah diberikan ‘cop halal’ oleh kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan telah menggerakkan satu laporan polis yang mendesak kerajaan menyegerakan siasatan isu status halal daging import seperti dituntut pemimpin parti itu dalam Konvensyen AMANAH Nasional minggu lalu.

Ketua Pemudanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, pihaknya memandang serius apa yang berlaku kerana ia melibatkan peraturan agama Islam di negara ini.

Sementara itu Shazni berkata, Pemuda AMANAH kesal dengan jawapan Menteri yang berkaitan serta timbalannya berhubung isu-isu yang menyentuh kepentingan umat Islam

“Dengan pembanterasan kartel daging yang diragui status halalnya yang seperti acuh tak acuh, ianya diburukkan lagi dengan hipokrasi ‘kerajaan Melayu Islam’ yang memberikan ‘cop halal’ kepada perbuatan judi; dengan menambah 22 cabutan berbanding pengurangan 8 cabutan yang telah diusahakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” ujarnya lagi.