Pemuda Amanah lancar tabung bantuan mangsa gempa di Palu

Pemuda Amanah lancar tabung bantuan mangsa gempa di Palu

 

Pemuda Parti Amanah (Amanah) Nasional melancarkan tabung kebajikan untuk mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi Indonesia.

Ketua Pemudanya Mohd Sany Hamzan berkata, beliau menyeru kerajaan untuk bersama membantu mangsa-mangsa bencana alam tersebut.

“Marilah kita membantu sebagai tanda semangat persahabatan yang teguh antara rakan rakan-rakan Asean,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara hari ini.

Beliau menegaskan Pemuda Amanah komited untuk menyusun Misi Bantuan Kemanusiaan
ke Palu dalam masa terdekat ini.

“Misi ini akan membawa beberapa barangan serta dana daripada rakyat Malaysia
untuk meringankan beban mereka.

“Namun kami difahamkan Lapangan Terbang di Palu juga ditimpa musibah justeru itu, kami menunggu isyarat daripada pihak Kerajaan Indonesia bagi membenarkan kami menghantar sukarelawan misi menyelamat ini,” ujarnya.

Sany berkata, bagi fasa pertama, adalah fasa penilaian dan apa yang perlu dilakukan untuk membantu mangsa-mangsa tersebut.

“Selain daripada dana pada fasa pertama ini, nanti pada fasa kedua dan seterusnya barulah nanti kami menghantar pasukan berkeupayaan bagi menyalurkan bantuan perubatan, membina semula kediaman yang musnah dan sebagainya,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh menderma ke akaun Maybank Tabung Kebajikan Pemuda Amanah bernombor 5628-3464-1808.

Angka korban gempa di Kota Palu dan Donggala di Sulawesi yang berlaku pada Jumaat itu telah mencecah kematian 1,234 orang.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS