Pemuda AMANAH lapor polis penggunaan bahan letupan pelombong haram di Kelantan

Pemuda AMANAH lapor polis penggunaan bahan letupan pelombong haram di Kelantan

Pemuda AMANAH Kelantan hari ini membuat laporan polis terhadap operator pelombong haram yang menyebabkan kematian masyarakat orang Asli, di Kuala Koh, Gua Musang.

Ketuanya, Zulhazmi Hassan mendesak kerajaan supaya melakukan penyiasatan segera terhadap operator tersebut yang disyaki beroperasi di penempatan tersebut hampir dua tahun.

Katanya, makluman yang diperoleh daripada masyarakat Orang Asli bahawa operator haram itu sering mencuci peralatan yang digunakan untuk meletupkan tanah bagi tujuan melombong dalam kawasan tandak air yang digunakan penduduk.

“Sehubungan perbuatan haram operator lombong yang menggunakan tandak sebagai tempat mencuci peralatan mereka, ramai penduduk kampung sejak awal tahun ini menerima komplikasi kesihatan penyakiylt kulit bersisik yang bernanah.

“Sejak awal bulan Mei ini juga, ramai penduduk kampung telah diserang sakit radang paru-paru (pneunomnia) yang serius hingga menyebabkan kematian seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana.

“Saya meminta supaya pihak berkuasa melakukan siasatan segera terhadap operator lombong haram sama ada mereka telah melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam menggunakan bahan letupan dalam kegiatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak berkuasa memastikan jenis bahan kimia yang mereka gunakan untuk mencuci peralatan mereka dalam tandak air kampung Orang Asli.

Beliau turut mengkritik kerajaan Kelantan yang dilihat tidak serius dalam menangani kes tersebut yang sudah berlarutan lebih dua tahun dan meminta supaya pihak berkuasa menyita operasi tersebut sementara siasatan dilakukan.

“Saya rasa kerajaan Kelantan bukan sahaja tak serius malah tidak ada nilai kemanusiaan kerana yang terlibat itu adalah manusia dan juga saudara kita.

“Ini juga bukan kali pertama berlaku. Kita tak mahu lihat isu ini kebelakang tapi kita mahu melihat bagaimana kerjaan mengurus isu ini. Bagaimana kerajaan menjadi pemimpin kepada rakyat sendiri,” ujarnya