Malaysia Dateline

PDRM

Pemuda AMANAH lapor polis terhadap AJK Pas Pusat

Satu laporan polis telah dibuat oleh Pemuda AMANAH Perak terhadap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat kerana mendakwa Pakatan Harapan mempromosi ideologi komunis.

Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Perak Mohd Ikhmal Mohd Iskandar membuat laporan polis selepas laman Facebook portal berita FMT  menyiarkan kenyataan  Kamaruzaman Mohamad.

Laporan itu menyiarkan kenyataan beliau yang  mendakwa Pakatan Harapan membawa dan mempromosi ideologi komunis khususnya ketika menjadi kerajaan.

Pemuda AMANAH lapor polis terhadap AJK Pas Pusat mendakwa PH bawa ideologi komunis

Beliau membaca berita itu pada 15 November 2021, jam 2,00 petang ketika di Pejabat Pusat Khidmat Peduli Rakyat Parlimen Lumut.

“Dakwaan tersebut dikeluarkan dalam satu ceramah Perikatan Nasional di Melaka yang telah disiarkan secara langsung dalam laman Facebook Pas pada tarikh 14 November 2021.

“Sesungguhnya dakwaan tersebut sangat berat dan sangat tidak berasas yang mana disifatkan boleh menimbulkan ketidaktenteraman kepada perpaduan kaum dan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.

Justeru jelasnya laporan ini dibuat agar pihak polis dapat menjalankan siasatan menurut Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan.