Pemuda Amanah mahu GST dihapuskan, subsidi minyak dikembalikan atasi inflasi

Pemuda Amanah mahu GST dihapuskan, subsidi minyak dikembalikan atasi inflasi

Pemuda Amanah Nasional mengulangi desakan agar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan kerana GST merupakan faktor utama kenaikan harga barang secara mendadak sekarang.

“Kutipan GST yang dianggarkan sebanyak RM38 bilion bagi tahun 2016 menunjukkan betapa tingginya perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan rakyat. Angka ini sudah pasti menyumbang secara langsung kepada peningkatan inflasi,” kata timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kadar inflasi 4.5% bagi bulan Februari 2017 amat membimbangkan kerana kadar ini adalah tertinggi sejak tahun 2008 dan dijangkakan akan berterusan untuk tahun ini.

“Pakar-pakar ekonomi melaporkan bahawa ini adalah kesan daripada kenaikan harga minyak, bahan makanan, dan kos pengangkutan. Ini merupakan indikasi kehidupan rakyat akan semakin susah dan tertekan akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

“Peningkatan inflasi yang berterusan juga adalah indikator ketidakstabilan ekonomi negara yang boleh membawa kepada krisis ekonomi. Keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dikaitkan dengan kejatuhan nilai ringgit akibat kehilangan kepercayaan pelabur berikutan skandal penyelewengan yang melibatkan Perdana Menteri dalam kes 1MDB,” katanya.

Justeru katanya, peningkatan inflasi ini merupakan krisis yang perlu diatasi segera dengan cara menyalurkan belanjawan tambahan RM3 bilion kepada subsidi minyak dan bukannya kepada projek-projek pembaziran.

“Ini agar harga minyak dapat diturunkan dan sekaligus dapat membantu meringankan perbelanjaan poket rakyat. Ini adalah kerana minyak adalah komoditi asas bagi rakyat yang nilainya mempunyai kesan ‘domino’.

“Anak muda dan golongan B40 adalah golongan yang paling terkesan dengan peningkatan inflasi ini. Apatah lagi, golongan muda yang kini bergelut dengan krisis pengangguran, mekanisma bayaran balik pinjaman pendidikan yang menekan, dan harga rumah yang tinggi. Maka, sewajarnya GST dihapuskan dan subsidi minyak dikembalikan,” katanya.

 

TAGS