Pemuda Amanah mahu Majlis Raja-raja Melayu campurtangan isu TPPA

Pemuda Amanah mahu Majlis Raja-raja Melayu campurtangan isu TPPA

 

 

Pemuda Amanah Nasional mahu Majlis Raja-Raja Melayu mengambil maklum akan  keputusan kerajaan terhadap  Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) setelah 127 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong usul dibahaskan  dalam Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat semalam.

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

Pemuda Amanah Nasional mahu Majlis Raja-Raja Melayu mengambil maklum akan  keputusan kerajaan terhadap  Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) setelah 127 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong usul dibahaskan  dalam Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat semalam.

 Naib Ketua Pemudanya Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap ahli parlimen BN yang menyokong perjanjian TPPA tanpa memikirkan kegusaran yang melanda masyarakat. Sikap ‘pak sanggup’ yang ditunjukkan oleh ahli parlimen BN telah melahirkan satu malapetaka besar bagi negara yang ketika ini dilanda pelbagai skandal.

“Kami dengan penuh pengharapan agar Majlis Raja-Raja Melayu dapat bersidang untuk membincangkan perkara yang penting ini seterusnya menolak demi kesejahteraan serta masa depan negara.

“Pemuda Amanah Nasional merasakan institusi tersebut adalah peluang terakhir untuk menyekat TPPA dilaksanakan di negara ini.

“Kami menegaskan, Amanah akan terus konsisten untuk menentang segala kebobrokan kerajaan dan memperjuangkan nasib rakyat di dalam negara ini,” tegasnya.

Menurutnya walaupun secara bersungguh-sungguh kerajaan meyakinkan bahawa TPPA akan memberikan manfaat kepada negara serta tidak mengakibatkan risiko kepada ekonomi dan rakyat, tetapi kegusaran dari pelbagai pihak termasuklah golongan intelek masih menghantui.

“Igauan perlaksanaan GST masih lagi terasa yang mana sebelum perlaksanaannya, kerajaan secara tegas menyatakan bahawa ianya tidak akan memberi bebanan kepada rakyat.

“Namun apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya dengan hampir keseluruhan harga barangan dan perkhidmatan meningkat secara mendadak. Rakyat sangat gusar episod tersebut akan berulang kembali selepas perjanjian TPPA ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fakhrulrazi juga berkata, rakyat perlu membuka mata melihat sikap serta tindakan wakil rakyat BN dan kerajaan yang gagal berperanan untuk memperjuangkan nasib mereka yang dihimpit dengan peningkatan kos kehidupan.

“Sewajarnya kerajaan menuruti harapan rakyat iaitu mengurangkan bebanan, bukannya sibuk untuk ‘mengikut’ rentak kuasa besar dunia.

“Di dalam kemelut skandal melanda negara, kerajaan tidak ada usaha untuk menyelesaikannya sebaliknya terus ‘mempertaruhkan’ masa depan negara dan rakyat dengan menandatangani perjanjian TPPA.

“Apa lagi yang boleh diharapkan kepada BN yang terus menerus menambahkan lagi bebanan rakyat.” ujarnya.

Selain itu Pemuda Amanah Nasional mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada ahli-ahli parlimen pembangkang yang secara lantang serta konsisten berhujah menentang perlaksanaan TPPA.

“Ke semua wakil rakyat khususnya daripada Amanah telah mengemukakan fakta dan hujah berkaitan kebimbangan serta risiko terhadap perjanjian tersebut. Sepanjang dua hari persidangan, wakil rakyat Amanah menggunakan sebaik mungkin untuk berhujah menentang perlaksanaan tersebut,” ujarnya.

TAGS