Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH mahu polis siasat segera dakwaan Wan Ji dipukul warden

Pemuda AMANAH memandang serius dakwaan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dipukul oleh Warden  penjara  ketika ditahan di Penjara Kajang baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda Kevin Shawn Gomez berkata,  penjawat awam perlu bertindak mengikut peraturan yang ditetapkan dan mengelakkan diri daripada melakukan sebarang tindakan melanggar undang-undang negara.

“Dakwaan tersebut merupakan satu tuduhan berat dan mencalar reputasi penjawat awam yang melaksanakan tugas mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara.

“Pemuda AMANAH Nasional menyeru pihak Jabatan Penjara Malaysia melakukan siasatan mendalam terhadap tuduhan tersebut.

“Jika ada kebenaran terhadap dakwaan berkenaan maka tindakan disiplin wajib diambil terhadap kakitangan tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Pemuda AMANAH katanya lagi, turut percaya dengan kewibawaan dan integriti Jabatan Penjara Malaysia dan mengharapkan maklum balas terbuka dari siasatan dalaman terhadap dakwaan Wan Ji itu.

Pada Isnin media melaporkan Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin mendakwa ditumbuk tiga kali oleh seorang warden penjara ketika ditahan di Penjara Kajang baru-baru ini.

Wan Ji berkata, warden berkenaan memintanya menanggalkan cermin mata sebelum memukulnya selepas beliau memperkenalkan diri.

Pendakwah dari PKR itu berkata, beliau memaklumkan perkara itu kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Wan Ji, Anwar sudah menghubungi pihak penjara untuk mengenal pasti warden yang telah melakukan perbuatan tersebut.

Ujarnya, beliau juga memaklumkan perkara itu kepada peguamnya yang kemudian memintanya membuat laporan polis.

Bagaimanapun, Wan Ji berkata beliau pada mulanya enggan berbuat demikian kerana tidak mahu warden itu dibuang kerja.

Wan Ji kemudiannya mencadangkan supaya warden itu tampil meminta maaf dan beliau akan menarik balik laporan polis.

Ini susulan Wan Ji terpaksa meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Hakim, Datuk Abdul Halim Aman turut meminda hukuman kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

Bagaimanapun pada 12 Julai Wan Ji dibebaskan selepas dua hari ditahan di Penjara Kajang sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan rayuannya terhadap sabitan hukuman mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan perkataan berunsur hasutan.

Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Hakim Datuk Abdul Halim Aman selepas mempertimbangkan alasan yang dikemukakan oleh dua peguam mewakili tertuduh iaitu Mohd Radzlan Jalaludin dan Ariff Azami Hussein.