Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH mohon maaf, perwakilan ditegur elak sikap menuding kepimpinan

Pemuda AMANAH diingatkan agar tidak terus membawa sikap suka menuding jari terhadap kepimpinan parti berhubung soal penganjuran lokasi dan isu membabitkan kebajikan para perwakilan.

Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad  Fadzil Ahamad, mengingatkan setiap ahli agar bermuhasabah dan menghargai usaha Ahli Jawatankuasa yang bertungkus lumus menyediakan suasana terbaik bagi setiap perwakilan.

“Kita sebenarnya ambil kira tentang kebajikan perwakilan yang datang dari jauh. Kita pun dah senarai segala kemungkinan. Mungkin ada masalah komunikasi dengan perwakilan dan Jawatankuasa

“Bagi saya perwakilan juga, pemuda AMANAH perlu berkorban sebagaimana kita di peringkat Jawatankuasa berkorban siang dan malam untuk memastikan kelancaran perjalanan konvensyen.

“Sikap ini bagi saya kalau kita sekadar menuding jari, itu perlu dielakkan,” katanya dalam rumusan sesi pembentangan minit mesyuarat, Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional, hari ini.

Baca: Perwakilan pemuda tidak puasshati

Namun begitu, beliau turut menzahirkan permohonan maaf di atas segala isu yang timbul oleh kerana beberapa isu tidak dapat diatasi seperti penundaan tarikh konvensyen yang sepatutnya berlangsung pada Oktober lalu.

“Walau bagaimanapun kita meminta maaf atas kelemahan yang berlaku, dan perkara ini semua kita jadikan sebagai post-morterm untuk kepimpinan seterusnya.

“Jawatankuasa akan datang juga akan di pastikan untuk meneliti balik rungutan perwakilan yang hadir,” katanya.

Pengarah Konvensyen Nasional itu juga berharap agar ahli AMANAH keseluruhannya menyambut konvensyen kali ini seperti satu perayaan yang akhirnya boleh menyatukan setiap ahli dalam satu majlis besar.

Jelasnya, segala kekurangan dalam penganjuran sayap parti itu pada hari ini, diharap dapat diterima secara positif dan mengingatkan semua bahawa menjadi kerajaan tidak boleh dijadikan sebagai lesen untuk bermewah-mewah.