Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Negeri Sembilan bantu anak-anak nelayan melalui program ‘Back To School’

Julung kalinya, seramai 39 anak-anak nelayan di dua kawasan nelayan di Negeri Sembilan diraikan penuh mesra dengan pemberian bantuan persekolahan bagi sesi akan datang.

Anak-anak nelayan itu disantuni sempena program ‘Back To School Bersama Anak-Anak Nelayan’ anjuran Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan bertujuan meringankan beban mereka.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil berkata, program yang dianjurkan oleh Pemuda AMANAH Negeri Sembilan itu adalah selari dengan hasrat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mahu golongan nelayan dibantu dan dibela.

“Golongan nelayan perlu diberikan perhatian dan sokongan bagi memastikan mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Oleh kerana itu, hari ini pelbagai bantuan diberikan oleh pihak kerajaan kepada golongan nelayan bagi meringankan beban kehidupan yang ditanggung mereka.

“Program seumpama ini juga akan diadakan di beberapa buah negeri lain, yang mana sebelum ini jarang dilaksanakan di kawasan nelayan.

“Perubahan yang dibawa oleh kerajaan hari ini adalah bagi mengangkat agenda kebajikan rakyat selaras dengan wawasan kemakmuran bersama,” ujar Faiz dalam ucapannya pada program berkenaan pada Selasa..

Anak-anak nelayan dibantu oleh Faiz memilih baju sekolah

Program yang berlangsung di Pasarayaku, Sunggala Gateway, Port Dickson itu disempurnakan oleh Faiz yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Turut hadir memeriahkan program tersebut, Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abdul Rahman; Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang, Md Isa Johar; Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson, Mohd Zulkifli Mohd Taib dan Pegawai LKIM Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin, program yang julung kali dianjurkan di Negeri Sembilan itu bertujuan membantu anak-anak nelayan yang tidak berkemampuan.

Dengan pemberian kelengkapan persekolahan tersebut, beliau berharap anak-anak nelayan itu akan lebih bersemangat untuk belajar dan berjaya dalam pelajaran mereka.