Pemuda AMANAH P.Pinang mahu tindakan berat ke atas individu hina Rasulullah, agama

Pemuda AMANAH P.Pinang mahu tindakan berat ke atas individu hina Rasulullah, agama
Mohd Saifullah bersama pimpinan Pemuda AMANAH Pulau Pinang selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah di Bandar Perda semalam.

Pemuda AMANAH Pulau Pinang mendesak supaya pihak yang berwajib lebih tegas dalam membendung penghinaan terhadap Rasulullah dan juga agama Islam.

Malah Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam) harus mengambil tindakan segera mengenai perkara tersebut.

Ketuanya, Mohd Saifullah Abd Nasir berkata, trend yang sedang berlaku kini amat membimbangkan apabila agama Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan sering dihina melalui media massa serta media sosial.

“Perbuatan ini dilakukan secara terbuka tanpa mereka merasakan perbuatan tersebut boleh menyinggung perasaan dan menimbulkan kemarahan umat Islam.

“Adalah amat malang bagi umat Islam dalam negara ini sekiranya kesucian agama Islam tidak dapat dipelihara dengan sewajarnya melalui undang-undang yang lebih tegas.

“Pemuda AMANAH merasakan perlu disegerakan Akta Kebencian Agama dan Kaum yang telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam) pada sidang Parlimen yang lepas, ” ujarnya.

Menurut Saifullah lagi, hukuman yang lebih berat seharusnya dikenakan kepada pesalah yang menghina sesuatu agama agar ia menjadi pengajaran kepada semua golongan masyarakat.

Disamping itu katanya, semua golongan masyarakat harus senantiasa hormat menghormati antara satu sama lain.

Tambahnya lagi, keharmonian antara kaum dan agama dalam negara ini wajar dipelihara dan dijaga dari anasir jahat yang senantiasa mencari peluang bagi memecahbelahkan perpaduan sedia ada sejak kemerdekaan dicapai lagi.

Baru-baru ini tular mengenai seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Foo Sing Wai secara jelas dan ketara menyiarkan grafik menghina Rasulullah dan juga agama Islam sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.

Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah, Bandar Perda hari ini menuntut supaya siasatan dan tindakan diambil segera terhadap pemilik akaun Facebook tersebut.

Semalam Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihak polis sudah menjalankan siasatan setelah laporan polis dibuat terhadap individu tersebut.