Pemuda AMANAH Perak azam tumpu tingkat pengaruh belia

Pemuda AMANAH Perak azam tumpu tingkat pengaruh belia

Usaha-usaha meningkatkan pengaruh dalam setiap lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan belia perlu diberikan tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Ketua Pemuda AMANAH Perak yang baharu, Khairol Najib Hashim.

Menurutnya, Pemuda AMANAH Perak juga perlu menggerakkan setiap ahli yang berada di kawasan dan cawangan untuk turut serta bergiat aktif menampilkan imej ‘Rahmah’ yang menjadi tunjang kepada perjuangan parti ini.

“Tekad saya juga adalah untuk melihat Pemuda AMANAH menjadi suara paling lantang mengemukakan idea serta pandangan dalam menyelesaikan isu-isu dan permasalahan rakyat.

“Di samping itu, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk membina bakat kepimpinan dalam kalangan Pemuda AMANAH agar masalah kelompongan pimpinan muda di peringkat akar umbi dapat diselesaikan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairol Najib Hashim

Mengulas pelantikannya, Khairol Najib mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan Pemuda AMANAH Perak yang telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui barisan kepimpinan baharu tersebut.

“Saya bersyukur kerana Pemuda AMANAH Perak mempunyai sikap yang matang dalam mengadakan semula pemilihan kepimpinan atas arahan daripada pihak nasional.

“Perjalanan mesyuarat semula ini berjalan lancar dengan penuh tertib dan mengikut tatacara yang digariskan.

“Bagi membawa seluruh Pemuda AMANAH Perak melihat cabaran di depan, saya menyeru agar kita bersama-sama merapatkan saf untuk terus belayar dalam bahtera AMANAH ini bagi mengisi kemenangan sebagai salah sebuah parti komponen Pakatan Harapan dan Kerajaan Negeri Perak,” ujarnya.

Semalam, Khairol Najib, 27, dilantik menerajui sayap Pemuda AMANAH negeri bagi sesi 2019 hingga 2022 sekali gus mencipta sejarah sebagai Ketua Pemuda AMANAH negeri paling muda setakat ini.

Pada 28 Oktober lalu, Pengarah Biro Kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional itu dilantik sebagai Ketua AMANAH Kawasan Tanjong Malim juga sekali gus menjadi ketua parti peringkat akar umbi termuda.

Sehubungan itu, beliau berharap agar hubungan dan kerjasama erat seluruh Pemuda AMANAH Perak di setiap peringkat akan membawa satu lonjakan besar dalam usaha membawa parti yang bernuansakan Islam itu sebagai teras perjuangan dengan membawa mesej Islam Rahmatan lil Alamin.

“Mudah-mudahan matlamat besar kita ini mampu dicapai dengan kerjasama semua Pemuda AMANAH Perak,” ujar Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad merangkap Pengerusi AMANAH Terengganu itu lagi.