Pemuda AMANAH Perak fokus angkat isu Melayu nafi fitnah pembangkang

Pemuda AMANAH Perak fokus angkat isu Melayu nafi fitnah pembangkang

Ketua Pemuda AMANAH Perak yang baharu, Ustaz Syamsul Alauddin memberitahu kerja berkaitan kebajikan, pendidikan dan keselamatan akan menjadi keutamaan di kawasan majoriti Melayu.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi fokus di enam daripada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan terbabit yang gagal dimenangi AMANAH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kawasan yang kalah adalah kawasan majoriti Melayu yang rata-rata berpendapatan rendah. Oleh itu, Pemuda akan fokus di enam kerusi mejoriti Melayu tersebut dengan tumpuan awal adalah kebajikan.

“Di kawasan saya sendiri, kami tubuhkan Pertubuhan Penyelaras Kebajikan Pasir Salak dan saya sendiri sebagai pengerusinya,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Untuk rekod, AMANAH Perak gagal memenangi kerusi DUN Selama, Selinsing, Changkat Jering, Kampong Gajah dan Rungkup pada PRU-14 tahun lalu.

Ustaz Syamsul berpendapat usaha untuk terus membawa suara Melayu di kawasan luar bandar penting bagi menafikan fitnah pembangkang kononnya Pakatan Harapan (PH) tidak mengangkat isu Melayu.

“Luar bandar adalah golongan yang tertinggal dari segi pendidikan sama ada pendidikan dipandang rendah atau sememangnya ketidakmampuan menampung kos pendidikan,” ujar Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Durian, Teluk Intan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda AMANAH negeri memberi fokus terhadap golongan terbabit sebagai sukarelawan setempat ataupun memberi saranan pekerjaan mahupun pendidikan.

“Suara Melayu adalah suara kebajikan, pendidikan dan keamanan serta keselamatan. Fokus kepada tiga aspek ini, saya yakin sokongan kepada PH akan bertambah,” jelasnya.

Langkah itu juga, katanya, merupakan serampang dua mata dalam mendekati segmen golongan pengundi kali pertama atau undi 18 tahun.

“Pada masa sama, fokus kita juga bagi menghadapi undi 18 tahun. Pemuda akan terus melahirkan barisan pelapis kepimpinan untuk mendepani PRU-15.

“Kita akan meneruskan kerja-kerja kebajikan dan khidmat kepada rakyat sebagaimana yang telah dilakukan oleh Pemuda AMANAH negeri Perak yang dipimpin oleh Hasnul Zurkarnain sebelum ini.

“Contohnya, program Salam Jumaat iaitu program kebajikan setiap hari jumaat ilham YB Hasnul, akan kami teruskan,” ujarnya.

Ustaz Syamsul, 34, dan bapa kepada empat cahaya mata berusia sembilan bulan hingga enam tahun itu juga berkata, tumpuan akan dilakukan pada gerakan pendidikan politik kepada masyarakat Malaysia agar pembinaan negara bangsa dapat dilaksanakan.

“Usaha ini bagi melawan politik perkauman yang telah berakar umbi sekian lama,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Pendukung Sekolah Agama Rakyat (PPSR) Cawangan Teluk Intan itu lagi.