Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Perak gesa kerjasama kerajaan pusat dan negeri percepat vaksinasi

Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Perak, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar menuntut kerajaan agar menyelesaikan segera isu pengurusan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, mahu tidak mahu rakyat sudah menerima bahawa wabak Covid-19 sudah merebak dalam komuniti.

Menurutnya, dengan menggunapakai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), kerajaan pusat sepatutnya bekerjasama erat dengan negeri, industri dan swasta dalam mempercepatkan lagi perolehan vaksin ini.

“Ujian besar-besaran hanya mengesahkan lagi wabak tersebut sedang bermaharajela dalam komuniti.

“Kos PCR dan Actigen Covid Test bukan murah. Beratus (ringgit) untuk sekali ujian.

“Jika ada mana-mana negeri mahupun Industri yang mampu membeli sendiri dengan jumlah yang banyak, ianya patut dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun katanya, apa yang penting, data penerima vaksin itu kelak perlu direkodkan secara berpusat.