Pemuda Amanah Perak turut rasai kehilangan MP Kuala Kangsar

Pemuda Amanah Perak turut rasai kehilangan MP Kuala Kangsar

Pemuda Amanah Negeri Perak menyifatkan ahli parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar sebagai tokoh politik yang sangat disenangi oleh kawan dan lawan.

Justeru pemergian beliau sangat dirasai biarpun berbeza wadah dan parti politik, kata naib ketua pemuda Amanah Perak Hasnul Zulkarnain dalam satu kenyataan.

“Pemuda Amanah Negeri Perak melahirkan rasa pilu berikutan tragedi nahas helikopter di Sarawak yang mengorbankan enam nyawa.

“Kami merakam takziah kepada ahli keluarga almarhum, semoga tabah dan sabar menghadapi ujian yang sangat besar ini.

“Kami turut merasai kesedihan terhadap pemergian yang mengejutkan ini, didoakan almarhum ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,”
katanya.

Jenazah Mohamad Khair-il selamat yang tiba-tiba kira jam 8 pagi tadi dari Kuching selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ghufran
berhampiran Makam Diraja, Kuala Kangsar selepas disembahyangkan di Masjid Ubudiah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menyambut ketibaan jenazah dan memberikan penghormatan terakhir dengan turut diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Hasnul juga berkata, nahas tersebut sangat mengejutkan pada ketika semua pihak sedang tertumpu kepada perjalanan pilihan raya negeri Sarawak dan sudah pasti disambut hiba oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya penggiat politik di negara ini.

Turut terkorban dalam nahas di Sarawak itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amala, pengawal peribadi Noriah,
Ahmad Sobri dan juruterbang Kapten Rudolf Rex Ragas.

TAGS