Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Perak ucap terima kasih kepada MPKK Kerajaan PH Perak

Pemuda AMANAH Perak mengucapkan terima kasih kepada semua lantikan Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak atas khidmat yang diberikan sepanjang tempoh 22 bulan PH memerintah negeri tersebut.

Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, khidmat mereka yang dilantik tersebut sangat besar nilainya untuk rakyat dan negeri tercinta itu.

“Walaupun bukan lagi sebahagian Jawatankuasa MPPK, Pemuda AMANAH Perak menyeru agar khidmat-bakti tuan-puan tidak terhenti setakat ini.

“Teruslah berkhidmat kepada rakyat walau jawatan tidak lagi berada di pundak bahu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, beliau yakin dan percaya, prestasi mereka sebagai Jawatankuasa MPKK adalah yang terbaik dan wajar dipuji.

“Hal ini kerana tuan-puan telah laksanakan tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan dedikasi. Hanya Allah SWT mampu membalas segala jasa baik yang tuan-puan berikan untuk umat ini,” tambahnya.

Dalam sepucuk surat bertarikh hari ini (11 Mac) yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Nor Sham Rahman, adalah dimaklumkan bahawa perkhidmatan MPKK Negeri Perak bagi Penggal Semasa adalah ditamatkan.

“Perkhidmatan semua Pengerusi, Setiausaha dan Biro/Ahli Jawatankuasa MPKK termasuk Kampung Baru dan Kampung India di Negeri Perak ditamatkan berkuatkuasa pada 30 April 2020,” surat itu dipetik.