Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Perlis gesa siasatan insiden bakar kereta rasmi mufti

Pemuda AMANAH Negeri Perlis mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan khianat dengan membakar kereta rasmi Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di kediaman beliau di Kangar semalam.

Menurut Ketuanya, Mohd Khomeini Halipah, insiden tersebut amat mengejutkan dan amat berbahaya kepada keselamatan dan nyawa.

“Mereka yang melakukan khianat tersebut tidak boleh dibiarkan bebas kerana ianya melampau dan melanggar batas-batas agama serta undang-undang negara.

“Pemuda AMANAH Negeri Perlis dengan ini menggesa agar siasatan menyeluruh dapat dilaksanakan bagi memastikan pengkhianat tersebut dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera.

“Sehubungan itu kita amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk memberi kerjasama sepenuhnya sehingga pelaku tersebut dapat ditangkap, ” ujarnya lagi.

Dalam kejadian pada awal pagi tersebut didapati tayar hadapan sebelah kiri kereta Honda Accord berwarna hitam serta cermin hadapan turut pecah.

Menurut Ketua Polis Negeri Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, siasatan awal ditempat kejadian mendapati ianya adalah disyaki berpunca dari perbuatan khianat.

Dalam kejadian tersebut juga didapati cermin belakang kenderaan telah dipecahkan.

Malah jelas beliau lagi, botol berisi petrol turut ditemui di tempat kejadian.