Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH perlu ambil iktibar pengalaman politik gerakan Islam

Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Fauzi Hasim menyarankan pemuda AMANAH agar mengambil iktibar pengalaman politik gerakan Islam dunia.

Beliau yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu berkata demikian ekoran pertemuan rombongan pemuda AMANAH menemui dua orang pimpinan Ikhwan Muslimin Mesir iaitu Dr Abdel Mawgoud Rageh Mohamed dan Dr Muhammed Elfikhi yang tiba di ibu negara sebagai delegasi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

Jelasnya, dalam pertemuan itu, mereka menceritakan pengalaman melawan penindasan rejim Hosni Mubarak dan cabaran-cabaran yang dihadapi pasca kemenangan yang tidak disangka pada tahun 2011.

“Antara lain, mereka menyatakan bahawa tragedi yang dialami Ikhwan di Mesir disebabkan oleh kegagalan mencapai kesepakatan untuk berkongsi kuasa bersama pihak lain termasuk tentera dan golongan liberal.

“Saya mempunyai pendapat yang sama dan mengakui bahawa fiqh berkongsi kuasa amat penting terutama dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia,” kata beliau melalui Facebooknya.

Tambahnya, dalam pertemuan tersebut, wakil Ikhwan Muslimin menyatakan harapan agar pemuda AMANAH dapat terus memperjuangkan konsep islam sebagai rahmatan lil alamin di negara ini.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat saudara Ammar Atan, AJK Pemuda AMANAH Nasional yang mengusahakan sesi perjumpaan tersebut,” katanya.