Beberapa hari lepas setelah saya menulis satu artikel bertajuk “Penstrukturan Semula Pemuda AMANAH bagi berdepan PRU-15 “, saya menerima WhatsApp mengatakan ada pihak tidak senang dengan hantaran terbabit.
Tujuan tulisan terbabit bukan untuk buat mana-mana pihak tidak senang, apatah lagi mengatur pemuda, tidak. Hanya pandangan peribadi semata-mata.
Saya tiada kepentingan terhadap Pemuda AMANAH Nasional melainkan mahu melihat Pemuda berada pada kedudukan terbaik.
Tujuan sebenar hanya untuk melihat pemuda bergerak lebih baik, sekarang sudah baik, mahu lebih baik.
Sebagaimana saya tulis di perenggan akhir tulisan terbabit, penstrukturan semula bukan untuk alih dari kepimpinan A kepada B, sebaliknya bakat-bakat kepimpinan dalam kedua-duanya dimanfaat sepenuhnya.
Antara yang menurut saya perlu penstrukturan semula adalah jawatan Naib Ketua Pemuda AMANAH yang ada lima kesemuanya.
Mereka terbabit bukan tidak bagus dari sudut personal. Kelima-limanya ada kelebihan masing masing.
Namun, apa yang saya harapkan dari Naib Ketua Pemuda (NKP) AMANAH adalah boleh dilihat, misalnya saya beri contoh seperti sewaktu Wan Anwar memegang jawatan NKP penggal lalu.
Beliau selalu muncul dengan kenyataan media isu-isu semasa dan muncul di forum TV. Platform NKP telah memberi manfaat kepada diri penyandang melalui terdedah kepada umum.
Pada masa yang sama, Pemuda AMANAH dapat manfaat dari kenyataan-kenyataan dan pandangan beliau terhadap isu sesama.
Jadi, win win situation. Kita dapat melahirkan kepimpinan AMANAH dengan memberi platform kepada individu berpotensi dan pada masa yang sama Pemuda AMANAH juga dilihat menonjol.
Mungkin akan ada yang membangkitkan, Naib-Naib Ketua Pemuda parti lain, pun kurang menyerlah, Umno, Pas, AMK, dan parti-parti lain juga tidak ke depan naibnya.
Kita jangan lakukan kesilapan serupa. Kita parti kecil dan baru, jangan jadikan “naib” sebagai hanya medan latihan untuk penjawat sebelum naik ke Timbalan atau Ketua Pemuda sebaliknya gunakan penjawatan sebagai Naib kedepan diri dan parti.
Saya ada pandangan peribadi. Beberapa nama yang wajar diberi peluang menduduki di situ (penama sendiri mungkin tidak bersetuju tetapi ia pandangan peribadi sahaja).
1. Asmaalif Abd Adam
Beliau cukup menonjol sebagai Pengerusi BPR Nasional. Beliau juga saya perhati sebagai seorang pemuda yang berbangga dengan identiti pemuda, menonjolkan pergerakan beliau sebagai pemuda di media sosial dan umumkan kepada dunia. Ada dalam kalangan kita yang takut untuk ke depan diri sebagai pimpinan Pemuda. Ini merugikan.
Jadi, kedudukan sebagai Naib itu saya percaya mampu memberi manfaat kepada beliau. Pada masa yang sama, ada manfaat pada pemuda.
2. Ammar Atan
Sebelum PRU-14, beliau antara muka depan atau wajah Pemuda, namanya menjadi sinonim dengan pemuda.
Beliau masih sinonim dengan Pemuda AMANAH hingga kini namun jawatan sedia ada, tidak menjadi platform untuk beliau menonjol kepada awam.
Ada lima nama boleh disebut tapi cukup dua, yang mana saya kongsikan kedua-dua mereka berlainan kumpulan dan pada masa yang sama ada persamaan yang merupakan merit untuk meletakkan mereka sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.
Ciri mereka ini harus ada kepada dua lagi gandingan.
Dan yang kelima, pandangan peribadi saya adalah diberikan kepada wakil mahasiswa sebagai penghormatan, pengiktirafan, dan peluang kepada mereka.
Mahasiswa yang bersama AMANAH adalah aset. Kedudukan mereka harus diiktiraf dengan serius, bukan sekadar biro belas kasihan.