Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Permatang Pauh bersama NGO bantu penduduk terjejas

Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh telah mengambil inisiatif segera bekerjasama dengan beberapa NGO seperti Pekemas dan i-Sejahtera cawangan Pulau Pinang membantu meringankan beban penduduk sekitar kawasan Permatang Pauh khususnya bagi Dun Permatang Pasir.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemudanya, Mohd Farid Ismail selepas menyampaikan sumbangan berupakan barangan keperluan asas bagi membantu penduduk yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pencegahan ekoran penularan wabak Covid-19.

“Dianggarkan lebih 200 kediaman telah menerima sumbangan yang telah diedarkan bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dalam kawasan Permatang Pauh.

” Di samping itu kita dari Pemuda AMANAH turut bekerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung sekitar Permatang Pasir membantu penduduk dengan sasaran utama adalah golongan miskin dan peniaga kecil yang terjejas akibat hilang sumber pendapatan.

“Selain itu nasihat agar mematuhi perintah PKP turut diberikan berulang kali serta menerangkan langkah-langkah kebersihan diri bagi mengelak dari terkena wabak Covid-19 mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelasnya.

Malah tambah Farid lagi, Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh juga mengambil daya usaha dengan memberi penerangan mengenai pelbagai jenis bantuan serta dokongan yang disediakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kata beliau lagi, Pemuda AMANAH kawasan sedang mengatur persediaan untuk bergerak bersama dengan Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil bagi meneruskan agenda membantu golongan yang memerlukan dalam tempoh terdekat.