Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Permatang Pauh siap siaga hadapi PRU14

Kerja-kerja gerak gempur Pemuda Parti AMANAH Negara kawasan Permatang Pauh yang telah sekian lama dijalankan untuk merialisasikan kemenangan parti dan juga PH pada PRU14 akan datang mendapat anjakan baharu apabila penubuhan Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil di Safira Country Club, Seberang Jaya semalam.

Penubuhan Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil di Safira Country Club, Seberang Jaya semalam.

Dalam pelancaran tersebut Faiz menyatakan bahawa kerusi-kerusi sedia ada yang dimenangi PH seperti Parlimen Permatang Pauh mesti dipertahankan.

Manakala kerusi Dun Seberang Jaya dan Penanti yang kini diwakili PKR harus dipastikan tetap menjadi milik PH tanpa memberi sedikit pun ruang kepada Umno-BN untuk membolosi kawasan tersebut.

Sementara itu ujarnya, bagi kawasan Dun Permatang Pasir yang dimenangi oleh Pas dalam PRU lalu, ia akan menjadi saingan hebat bagi AMANAH untuk merebut kerusi tersebut.

Faiz bersama Pemuda AMANAH Permatang Pauh semalam.

“Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh telah pun bersiap siaga bagi menjalankan misi merampas kerusi tersebut yang kini diterajui Pas.

“Walaupun pelancaran dilakukan secara rasmi pada hari ini, namun begitu Pemuda AMANAH telah pun bergerak bersama-sama dengan AWAN dan AMANAH Permatang Pauh sejak penubuhan awal AMANAH Permatang Pauh lagi.

“Cumanya kali ini kita membuktikan kesungguhan untuk bersama-sama PH untuk menentang Umno-BN serta juga mana-mana parti yang bersekongkol dengan parti yang menzalimi rakyat tersebut,” jelasnya ketika ditemui.

Tegasnya lagi, Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh sedang menyusun atur gerak kerja agar kawasan yang dikenal pasti memberi sokongan kepada AMANAH dalam persaingan akan datang diberi sepenuh tumpuan.

“Berdasarkan kepada ‘track record’ yang ada, AMANAH kawasan Permatang Pauh telah pun dikenali oleh pengundi dalam kawasan ini.

“Biarpun kita memberi tumpuan kepada Dun Permatang Pasir yang pernah dimenangi Pas dalam pilihan raya umum yang lalu, komitmen kita adalah bagi mempertahankan 4-0.

“Dalam PRU lalu Umno-BN tidak dapat memenangi satu pun kerusi yang ditandingi dalam Dun Permatang Pauh dan juga Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah,” ujarnya.

Beliau juga berkata, turun padang bagi membantu golongan miskin dan daif, anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan seumpamanya telah giat dilaksanakan sekian lama.

Malah semasa banjir besar yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini katanya, Pemuda AMANAH telah pun menjalankan misi bantuan bukan saja di kawasan Dun Permatang Pasir dan Parlimen Permatang Pauh, sebaliknya ke seluruh negeri ini.

“Yang pasti bagi Pemuda AMANAH Permatang Pauh ialah tidak memberi sedikit pun ruang kepada Umno-BN untuk memenangi mana-mana kerusi yang ada di Permatang Pauh.

“Begitu juga kepada Pas yang dijangka akan mempertahankan kerusi yang pernah mereka menangi semasa berada bersama-sama Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Pemuda AMANAH Permatang Pauh optimis kejutan akan berlaku bagi kerusi Dun Permatang Pasir dalam PRU akan datang, apabila pengundi tidak lagi mahu mereka memenangi kerusi tersebut,” katanya.

Tambah Faiz lagi, dengan pelancaran Pemuda AMANAH Permatang Pauh semalam, ia membuktikan kesungguhan bagi merampas kerusi yang dimenangi oleh Pas bagi Dun Permatang Pasir serta memastikan Dun Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pauh tetap kekal dikuasai PH.

Sehubungan itu tegasnya, Umno-BN serta mana-mana parti yang bersama dengannya harus kekal menjadi pembangkang untuk penggal ketiga di Pulau Pinang.