Pemuda Amanah Sabah cabar Pas buat laporan polis terhadap Rafizi

Pemuda Amanah Sabah cabar Pas buat laporan polis terhadap Rafizi

Pemuda Amanah Sabah mencabar Pas Sabah turut membuat laporan polis terhadap naib presiden PKR Rafizi Ramli berhubung akuan bersumpahnya yang mendedahkan bekas pimpinan kanan parti itu menerima dana melibatkan 1MDB melalui akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Cabaran itu ekoran tindakan Pas Sabah membuat laporan polis terhadap pengerusi Amanah Sabah Hamzah Abdullah berikutan satu tulisan di Facebook beliau yang menyatakan bahawa Pas bukan hanya menerima RM90 juta tetapi sebenarnya RM200 juta.Hamzah Abdullah

“Kenyataan yang dibuat oleh Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan  boleh diakses ke seluruh dunia dan merupakan satu tuduhan yang serius.

“Tuduhan terhadap seorang individu yang dikaitkan langsung dengan Pas adalah lebih wajar diberikan perhatian berbanding sebuah ‘posting’ di Facebook,” kata ketua pemuda Amanah Sabah Khairuddin Daud.

Beliau juga berkata, sekiranya kenyataan yang dibuat oleh Rafizi adalah fitnah seprti yang didakda Pas, ia merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan seterusnya hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.

Namun katanya, sekiranya tiada laporan dibuat siasatan tidak dapat dimulakan. Tindakan sivil juga mungkin boleh menjadi pilihan kepada Pas untuk menghentikan Rafizi terus membuat kenyataan yang merosakkan nama baik Pas.

“Kami hairan kerana tidak ada satu pun laporan polis atau tindakan sivil dimulakan oleh mana-mana sayap Pas atau pimpinan Pas setakat ini, oleh itu Pemuda Amanah Negeri Sabah mencadangkan agar Pas Sabah mendahului Pas negeri lain di dalam isu ini dengan membuat laporan polis,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)