Pemuda AMANAH Sabah gesa tingkatkan ciri keselamatan kereta api

Lokasi kes remaja maut terjatuh daripada kereta api.

Pemuda AMANAH Sabah menggesa siasatan terperinci dilakukan berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang terjatuh daripada kereta api kelmarin.

Ketuanya, Khairuddin Daud berkata, pihaknya kecewa dengan tahap keselamatan kereta api di negeri itu dan menuntut pihak berkaitan menyiasat.

Menurutnya, pihak Jabatan Kereta Api Sabah serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan perlu menyiasat insiden tersebut untuk mengetahui punca nahas juga langkah bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Sepatutnya, pihak kerajaan menyediakan kemudahan yang selamat digunakan oleh masyarakat awam dan bebas daripada sebarang risiko bahaya,” dipetik daripada kenyataan beliau semalam.

Khairuddin Daud

Sehubungan itu, ujar Khairuddin, Pemuda AMANAH Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa berkenaan.

Mangsa dilapor maut selepas terjatuh daripada kereta api di Batu 62 di Beaufort kira-kira jam 2 petang pada 19 Mac lalu ketika sedang dalam perjalanan menuju ke Tenom.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang duduk di tepi tangga antara dua gerabak dengan kedua-dua kakinya terkeluar ekoran kesemua gerabak penumpang penuh.

Walau bagaimanapun, kakinya tersangkut pada sebatang kayu berdekatan landasan sehingga menyebabkannya terjatuh dan meninggal dunia serta-merta di lokasi nahas akibat kepalanya terhempas ke permukaan batu landasan.

2.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 5.0