Pemuda AMANAH Sabah sokong Ketua Menteri tidak naikkan tarif air

Pemuda AMANAH Sabah sokong Ketua Menteri tidak naikkan tarif air
Khairuddin Daud

Pemuda AMANAH Sabah memuji pendirian Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal dan menyokong cadangan agar tarif air dikekalkan di negeri itu.

Ketua Pemudanya Khairuddin Daud berkata, pemuda AMANAH menyambut baik keputusan dibuat Ketua Menteri bagi memastikan infrastruktur air, bekalan air terawat di kampung-kampung, pengurusan yang cekap dan amanah berbanding menaikkan tarif air.

“Di era pentadbiran kerajaan Umno-BN di Sabah, rakyat Sabah telah menyaksikan skandal air terbesar dalam sejarah Malaysia berlaku di Sabah. Sejumlah RM 250 juta telah diseleweng di Jabatan Air Negeri Sabah sebelum ini. Kesannya amat dirasai oleh ribuan rakyat Sabah yang dinafikan haknya untuk mendapat bekalan air bersih dan infrastruktur air yang mencukupi.

“Justeru itu, kami menyokong pendirian Ketua Menteri Sabah untuk tidak menaikkan tarif,” ujarnya.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sebelum ini menyatakan cadangan untuk menaikkan tarif air diseluruh negara secara berperingkat pada tahun ini.

Walau bagaimanapun, ketika mengulas mengenai cadangan ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal menyatakan Sabah tidak akan menaikkan takrif air sepertimana Pulau Pinang yang menaikkan tarif air sehingga 20 peratus.