Pemuda AMANAH sambut baik cadangan Tanjung Malim sebagai bandar TVET

Pemuda AMANAH sambut baik cadangan Tanjung Malim sebagai bandar TVET

Pemuda AMANAH Perak menyambut baik cadangan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai bandar pintar yang lengkap dengan kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Naib Ketuanya, Khairol Najib Hashim berpandangan bahawa cadangan tersebut adalah tepat dan bakal memberi nilai tambah kepada Tanjung Malim sebagai salah sebuah bandar yang mempunyai potensi untuk dibangunkan.

Katanya, Tanjung Malim sememangnya sudah menjadi kawasan yang terkenal sebagai hub pendidikan di mana hampir semua institusi pendidikan di semua peringkat berada dalam daerah ini.

Sepanjang daerah ini, Tanjung Malim mempunyai Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Maktab Rendah Sains MARA, SMK Agama Slim River, Pusat Giat Mara, Kolej Vokasional Slim River dan beberapa agensi kerajaan seperti Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN).

Selain itu, katanya Tanjung Malim juga mempunyai kilang pembuatan kereta Proton yang sudah pastinya boleh menyumbang kepakaran tertentu terutamanya dalam bidang automatif.

Sekiranya cadangan Bandar TVET ini dapat direalisasikan, bagi Pemuda AMANAH ia akan menjadikan Tanjung Malim sebagai sebuah bandar yang mempunyai pusat sumber tenaga manusia berkemahiran tinggi dalam bidang TVET serta menggalakkan perkembangan industri di sini selain dikenali sebagai bandar sejarah dalam bidang perguruan dengan wujudnya UPSI sebelum ini.

“Justeru, kami sekali lagi melahirkan sokongan penuh terhadap cadangan tersebut dan diharapkan ia dapat diusahakan secara serius dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak serta kementerian berkaitan bagi mencapai matlamat melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam TVET pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia bercadang membangunkan bandar pintar yang lengkap dengan kemudahan pendidikan TVET di Tanjung Malim, Perak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata bakal dikenali sebagai ‘Bandar TVET’, cadangan itu dijangka menjana inovasi pemikiran dalam kalangan golongan muda ke tahap maksimum.

Katanya, beliau sudah membawa cadangan itu kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan perbincangan lanjut mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.