Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH sambut baik pendirian Armada, Pemuda Umno usah ‘syok sendiri’

Pemuda AMANAH menyambut baik pendirian Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) untuk kembali bekerjasama dalam koalisi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pendirian ini selari dengan pandangan yang telah disuarakan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Sebagai mengangkat prinsip perjuangan untuk membina Malaysia Baharu, Pemuda AMANAH juga merasakan perlu di peringkat kepimpinan tertinggi Pemuda Harapan untuk menetapkan terma-terma bagi mengukuhkan kerjasama ini agar ketumbukan anak muda mampu bergerak dengan kesepakatan yang lebih utuh dan mantap.

Di sisi yang lain, menurut Shazni, Pemuda Umno tidak perlu ‘syok sendiri’ dengan kenyataan mempersenda pendirian ARMADA itu kerana mereka menjadi kerajaan hari ini pun tanpa melalui peti undi yang dipilih rakyat.

“Bagaimana kerajaan tanpa mandat rakyat boleh berpesan agar orang lain bertindak memenuhi mandat rakyat? Pesanan itu tidaklah salah, cuma sekali baca dan dengar kelihatan kelakar dan menghiburkan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Armada Bersatu Malaysia telah menyatakan pendirian untuk kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dan tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Dalam kenyataanya hari ini, Armada memaklumkan, keputusan dicapai berdasarkan undian yang dibuat semasa perjumpaan dan dipersetujui lebih 2/3 ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak.

Armada turut menyokong penuh pendirian Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan Umno.