Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH saran kerajaan pertimbang PKPD di zon merah, PKPB di zon Kuning

Pemuda AMANAH Nasional mencadangkan agar kerajaan segera melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagi semua zon merah dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi semua zon kuning.

Naib Ketuanya, Kevin Shawn Gomez berkata, ini berikutan kadar jangkitan Covid-19 negara telah melepasi rekod jangkitan di China, selain laporan terkini bahawa seramai 50 orang pesakit dan petugas Hospital Tuanku Ampuan Rahmah (HTAR), Klang disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, penggubalan dasar dan polisi kerajaan sering dilakukan secara ‘semberono’ terutama berhubung langkah pengendalian Covid-19 sehingga akhirnya banyak arahan terpaksa ditarik balik dan diubah suai.

“Penggubalan polisi kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain agensi berkaitan amatlah lemah dan tidak proaktif.

“Langkah-langkah pencegahan wajib dilaksanakan dalam kadar segera antaranya mewajibkan perintah kuarantin wajib selama 14 hari di fasiliti yang mempunyai akreditasi dari KKM sebagai pusat kuarantin bagi mereka yang positif Covid-19.

“Buat pemeriksaan mengejut di syarikat-syarikat yang memohon keizinan beroperasi untuk meninjau kepatuhan kepada SOP Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Kevin turut menyarankan agar kerajaan memperketatkan kawalan sempadan negara termasuk di lapangan terbang antarabangsa dan mewajibkan merek kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin.

Tambahnya, kerajaan perlu mengehadkan bilangan orang yang boleh berada di pusat membeli-belah, restoran, pasaraya, stesen minyak, pusat sukan dan rekreasi pada satu-satu masa bagi mengurangkan kadar keboleh-jangkitan.

“Heret orang-orang dan organisasi yang melanggar SOP Covid-19 ke mahkamah untuk didakwa tanpa pilih kasih,” tegasnya.