Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH saran pegawai kanan Mat Sabu disiasat SPRM ‘direhatkan’

Pemuda AMANAH Nasional mendesak supaya seorang pegawai kanan kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ‘direhatkan’ setelah didakwa sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Ketua Pemuda Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, dengan pendedahan sebuah portal media semalam yang dipetik sumber mengaitkan pegawai di Kementerian Pertahanan dalam siasatan kes terbaharu SPRM sesuatu yang amat mengejutkan berlaku membabitkan parti itu.

“Sebagai sebuah parti yang menjunjung tinggi nilai integriti, Pemuda AMANAH melihat isu ini sebagai amat serius dan perlu pada tindakan segera.

“Sedari awal, AMANAH dengan tujuan dan semangat penubuhannya -tidak wajar terpalit dengan mana-mana siasatan kes melibatkan SPRM.

“Walau memaklumi konsep ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, Pemuda AMANAH tetap tegas bahawa tiada kompromi terhadap sebarang masalah yang boleh menjejaskan integriti parti

“Dengan seluruh maksud baik ini, Pemuda AMANAH menggesa agar mana-mana anggota parti yang disiasat dengan terhormatnya
‘take a leave of absence’ atau dibuat satu ketetapan oleh parti untuk direhatkan dari tugas sepanjang proses siasatan<” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut Shazni Munir lagi, sebagai sebuah parti yang baharu tiga tahun ditubuhkan AMANAH perlu dilihat tegar.

“Bukan hanya bersikap amanah, tapi benar-benar dilihat amanah,” tegasnya.

Semalam portal Malaysiakini dipetik melaporkan seorang pegawai kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sedang disiasat SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan mengesahkan kepada portal tersebut berhubung siasatan terhadap pegawai kanan menteri pertahanan itu.

Pegawai itu didakwa menerima wang berjumlah RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantu menyelesaikan masalah hutang supaya namanya dapat dikeluarkan daripada status muflis.

Portal itu turut melaporkan seorang sumber yang tidak didedahkan identitinya memberitahu, beberapa pihak memasukkan wang ke akaun Jabatan Insolvensi untuk menyelesaikan masalah hutang pegawai tersebut yang diisytihar muflis kira-kira empat tahun lalu.

“Didakwa bayaran itu dibuat bagi pihaknya hanya beberapa hari selepas Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri pertahanan,” kata sumber itu dipetik.

Sumber yang lain memberitahu Malaysiakini, SPRM telah merakamkan kenyataan pegawai itu untuk membantu siasatan.

Selain dia, sepuluh lagi individu telah dirakamkan kenyataan, termasuk beberapa kontraktor pertahanan dan wakil-wakil perniagaan.