Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Sarawak selar sikap khianat Hasnul

Pemuda AMANAH Sarawak menyelar sikap khianat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas serta menyokong pengkhianat membentuk kerajaan pintu belakang di Perak.

Ketua Pemuda AMANAH Sarawak, Abu Tariq berkata, Hasnul sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan khianat kepada amanah rakyat yang memilihnya atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya, bekas Exco kerajaan negeri Perak itu juga sanggup bekerjasama dengan kleptokrat yang jelas mempertahankan kuasa untuk diri sendiri dan kroni.

“Hasnul jika punya integriti, letak jawatan sebagai Adun. Kita tidak mahu imej Pemuda AMANAH Nasional tercalar oleh individu yang khianat.

“Hanya yang ikhlas dan berpegang pada prinsip perjuangan ini adalah untuk menyebar rahmah dan memberi manfaat kepada yang lain akan kekal, ” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas di Kuching malam tadi.

Semalam, dua Adun DAP bersama-sama Hasnul mengumumkan keluar parti dan memilih untuk menjadi Adun bebas.

Adun tersebut ialah Adun Tronoh, Yong Choo Kiong; dan Adun Buntong, A. Sivasubramaniam.

Ketiga-tiga mereka membuat pengumuman itu selepas Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengadakan sidang media khas menyokong pembentukan kerajaan Permuafakatan Nasional (PN) di Perak.