Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH sedia rentas parti demi masa depan anak muda

Pemuda AMANAH bersedia merentas parti dalam usaha mengembleng tenga agar isu-isu anak muda dapat diketengahkan dan didengari kerajaan.

Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional Asim Abdullah Ainullotfi berkata, pemuda juga akan berusaha berjumpa dengan semua pemegang taruh anak muda, baik daripada individu berpengaruh mahupun kumpulan NGO bagi merealisasikan matlamat itu.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pada 11 April 2021 sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung sebaik sahaja tamat darurat pada Ogos.

Selain itu, Pemuda AMANAH mahu segera sediakan tawaran yang realistik dan menyentuh secara langsung isu-isu yang membelenggu anak muda terutama isu Undi 18, peluang pekerjaan, gaji minima, isu pendidikan, kebebasan bersuara dan kebebasan berkreativiti.

Bahkan dalam masa yang sama, katanya pemudu turut menyokong segala usaha untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan terutama di peringkat Pemuda.

“Dalam masa terdekat, Pemuda Amanah akan bersama-sama Pemuda DAP (DAPSY) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi membincangkan gerak kerja dan hala tuju bersama,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, selaras dengan resolusi Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah Negara yang berlangsung tahun lepas dalam rangka menolak kerajaan PN ini, barisan pembangkang perlu duduk bersama dalam satu “Grand Coalition”.

Justeru, Pemuda AMANAH menyokong pendirian Majlis Presiden PH mengenai konsep “PH sebagai Khemah Besar”.