Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Selangor cadang MAS dijual jika berterusan alami kerugian

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, mendakwa layanan istimewa dan suntikan dana yang diberikan kepada Malaysia Airlines Bhd (MAS) selama ini tidak wajar diteruskan.

Ketua Pemudanya, Abbas Azmi berkata ia susulan situasi MAS yang terus menerus mengalami kerugian setelah kerajaan mengeluarkan belanja sebanyak 30 bilion sejak tahun 2001.

Katanya Malaysia tidak boleh berbangga dengan syarikat penerbangan nasional yang menelan duit pembayar cukai yang sepatutnya boleh disalurkan kepada inisiatif yang lebih menguntungkan rakyat seperti pertambahan sekolah dan guru.

“Sebagai perbandingan, RM30 bilion yang diberikan, dianggarkan ia dapat membina lebih dari 500 buah sekolah di seluruh negara.

“Kerugian MAS sebahagiannya disebabkan oleh faktor luar seperti harga minyak dan kemunculan penerbangan kos rendah.

“Ditambah pula dengan salah tadbir kroni Umno yang meletakkan keuntungan diri di atas kepentingan negara. Sebagai contoh, bekas pengerusi MAS yang membelanjakan jutaan ringgit untuk dekorasi dan ubahsuai pejabatnya,”katanya.

Beliau turut menyentuh tentang Khazanah Nasional yang mencatatkan kerugian RM6.3 bilion dimana sebahagian besarnya disebabkan oleh pelaburan di dalam MAS.

Namun, beliau juga berpandangan bahawa penutupan syarikat tersebut juga tidak wajar, kerana ia melibatkan punca kehidupan 13,000 pekerja.

“MAS masih memiliki reputasi yang baik di kalangan pengguna dan aset-aset yang berharga.

“Kami melihat bahawa jalan terbaik ialah menjual MAS tetapi dijual kepada pengendali komersial yang berpengalaman dalam bidang penerbangan.

“Untuk menjaga kebajikan pekerja-pekerja MAS yang sedia ada, jualan tersebut wajar dikenakan syarat seperti mengekalkan sebahagian besar tenaga kerja MAS dan mengekalkan hab operasi di Malaysia,”katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa semua langkah perlu dipertimbangkan dengan penutupan yang baik sebagai langkah terakhir.