Malaysia Dateline

Abbas Azmi

Pemuda Amanah Selangor gesa wujudkan Pakatan Harapan negeri

Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi mengulangi gesaan supaya jawatankuasa Pakatan Harapan negeri itu segera diwujudkan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir.

“Dalam kita ghairah menyusun segala gerak kerja, jawatankuasa Pakatan Harapan Negeri Selangor masih belum ditubuhkan.

“Ini amat menggusarkan rakyat dan rata rata masih keliru apakah Pakatan Harapan ini gabungan yang jitu ataupun gabungan main-main,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Pemuda Amanah Selangor di Bangi kelmarin.

Beliau berkata, pemimpin tertinggi keempat-empat parti iaitu Amanah, PPBM, PKR dan DAP harus memutuskan penubuhan jawatankuasa tersebut memandangkan rakyat sedang menilai kesepakatan Pakatan Harapan.

“Pimpinan tertinggi parti komponen Pakatan Harapan Negeri Selangor perlu segera duduk semeja berbincang seterusnya menubuhkan jawatankuasa Pakatan Harapan Negeri Selangor.

“Rakyat khususnya orang muda sedang melihat dan menilai kita. Jangan ada kepentingan peribadi mana-mana pihak sehingga rakyat mula muak dan meluat dengan gelagat kita,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, Pakatan Harapan di peringkat nasional telah menubuhkan sekretariatnya.

“Alhamdulillah Pemuda AMANAH, AMK, DAPSY dan ARMADA Negeri sSelangor pun telah berjaya duduk bersama membincangkan gerak kerja,” jelasnya.

Sementara itu, Abbas memberitahu terdapat lima kawasan Pemuda Amanah telah ditubuhkan iaitu di Shah Alam, Serdang, Kuala langat, Gombak dan Ampang.

Empat kawasan lagi, tambahnya, di peringkat Jawatankuasa Penaja iaitu Kuala Selangor, Sepang, Sungai Besar dan Sabak Bernam dengan sasaran sekurang-kurangnya 20 kawasan akan didaftarkan secara sah menjelang Mac tahun hadapan.