Pemuda Amanah sembah tahniah TMJ dinobat Presiden FAM

Pemuda Amanah sembah tahniah TMJ dinobat Presiden FAM

Pemuda Amanah Nasional merafak sembah tahniah kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dinobatkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Tunku Ismail diumumkan sebagai Presiden FAM setelah seorang lagi calon, Tan Sri Annuar Musa menarik diri hari ini sebelum Kongres FAM yang dijadualkan berlangsung dua hari lagi.

“Bagi kami, keputusan yang dibuat oleh Annuar itu adalah satu tindakan yang tepat selari dengan harapan ramai pihak khususnya peminat bolasepak tempatan.

“Ini kerana Ketua Penerangan Umno Malaysia itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa terlibat dalam penyalahgunaan kuasa,” ujar Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan.

Menurut Sany, penglibatan aktif Annuar di dalam politik juga dikhuatiri mewujudkan konflik kepentingan sekiranya beliau mengetuai FAM.

Keputusan Annuar menarik diri daripada pencalonan, ujar Sany pasti disambut baik semua pihak sekaligus menobatkan TMJ sebagai Presiden FAM menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Pemuda Amanah Nasional sangat yakin TMJ mampu memberi sinar baru buat sukan bola sepak negara. Tuanku yang merupakan tokoh pemimpin muda telah terbukti kejayaannya membina skuad Johor Darul Takzim (JDT) sehingga di tahap yang cukup membanggakan,” tambah Sany.

Pemuda Amanah Nasional juga berharap agar ahli gabungan FAM yang layak mengundi memberikan sokongan kepada calon-calon yang berkaliber demi masa depan bola sepak negara.

“Semoga TMJ mampu membina pasukan yang mantap dalam memacu FAM ke tahap yang membanggakan!” jelas Sany.

TAGS