Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH serah bukti salah guna kuasa anak syarikat kerajaan Terengganu

Pemuda AMANAH Terengganu selesai menyerahkan bukti salah guna kuasa membabitkan seorang pengurus besar di hotel Paya Bunga yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Memetik Terengganu Fokus, Pemuda AMANAH negeri dilaporkan hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Terengganu pada semalam, untuk proses penyerahan bukti.

Sebelum ini, mereka mendakwa pengurus besar hotel berkenaan, Abdul Hadi Alias mengarahkan pembelian sebuah kereta Honda CRV untuk kegunaan peribadi walaupun kereta syarikat untuk kegunaan hotel telah pun ada.

Abdul Hadi juga didakwa telah mengubahsuai bilik rasmi hotel untuk kegunaan anaknya sebagai bilik aktiviti E-Games peribadi.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dalam respon segeranya menafikan dakwaan itu dan akan meneliti butiran tertentu termasuk berbincang dengan peguam serta melaporkan kepada pihak polis sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Dia juga mengakui tidak pernah mengarahkan sebarang pembelian kereta.

Sebaliknya katanya, kereta tersebut serta van operasi (Starex) yang telah pun dibeli sebelum ini adalah dengan kelulusan oleh Lembaga Pengarah Paya Bunga Hotel sejak 2019 sebagai kemudahan untuknya serta kakitangan hotel.