Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH seru anak muda 18 tahun semak maklumat pengundi

Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik langkah digerakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia bagi melaksanakan undi18 dan pendaftaran pemilih automatik dengan melaksanakan proses Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) di portal SPR.

Pengarah Pilihanrayanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, apa yang dilaksanakan itu selaras dengan kandungan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, beliau menyeru anak muda agar segera membuat semakan sebelum diwartakan bagi mengelakkan sebarang kesilapan maklumat yang boleh menjejaskan keabsahan dan hak mengundi pada masa akan datang.

“Pemuda AMANAH akan menggerakkan seluruh pemuda negeri dan kawasan untuk mempermudahkan anak muda bagi membuat semakan tersebut.

“Semakan boleh dibuat di pautan: https://mysprsppa.spr.gov.my/

“Pemuda AMANAH juga mahu agar data yang lebih lengkap diberikan kepada wakil parti bagi menjadikan pilihanraya akan datang lebih telus dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, SPR telah melaksanakan proses Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik yang akan diadakan pada 1 sehingga 31 Oktober depan.

Langkah ini melibatkan hampir 5.8 juta bakal pemilih berumur 18 tahun ke atas.