Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH seru Bersatu kembali bersetiakawan dalam PH

Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan perkembangan kerjasama politik di Johor, Perak dan Kedah pastinya ditanggap dengan perspektif serong jika tiada ketetapan sikap yang tuntas oleh Bersatu.

Timbalannya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pendekatan kerjasama yang berbeza termasuk dengan Pas dianggap tidak mencerminkan pendirian Bersatu yang bermaruah.

“Bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Kedah dan Perak, di sisi yang lain boleh bekerjasama dengan Umno dan Pas di Johor pula, ianya bukan pendirian terhormat bagi sebuah parti yang dipimpin negarawan tersohor.

“Sikap politik ini amat bertentangan dengan semangat penubuhan Bersatu yang muncul di tengah-tengah kancah kleptokrasi rejim BN,” tegasnya dalam kenyataan media lewat malam ini.

Shazni mempersoal bagaimana Bersatu boleh bekerjasama dengan parti yang menyaksikan banyak pemimpinnya diheret dengan pelbagai kes jenayah.

“Setelah bergulat panjang melawan penyamun dan penyangak negara, masakan hari ini Bersatu boleh tiada sebarang masalah bekerjasama dengan gerombolan yang sedang dibicarakan di mahkamah dalam kes berprofil tinggi?” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak Bersatu bersama PH lantaran yakin suara rakyat mahukan parti tersebut berbuat demikian.

“Pemuda AMANAH suka untuk menyeru agar Bersatu secara keseluruhannya kembali bersetiakawan dalam saf PH.

“Kita meyakini bahawa masih nyaring suara di peringkat akar umbi agar Bersatu bergerak dalam koalisi PH.

“Percayalah, gabungan rapuh dengan tunjang kleptokrasi tidak akan membawa Bersatu ke mana, bahkan lebih membimbangkan akan dicemuh oleh anak cucu sebagai parti tidak berprinsip,” tegasnya lagi.