Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH seru kerajaan teliti syor naik had umur bersara

Pemimpin Pemuda AMANAH menyeru kerajaan meneliti semula cadangan untuk menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun seperti dinyatakan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran baru-baru ini.

Setiausaha Pemuda AMANAH Kelantan, Syahidulamri dan Jawatankuasa Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, cadangan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menggemparkan itu perlu mengambil kira kesan terhadap peluang pekerjaan golongan belia pada masa akan datang.

Dalam kenyataan bersama itu, mereka menyifatkan kerajaan perlu menyedari
persaraan dan pengangguran adalah berkait antara satu sama lain.

“Sehingga Disember 2018, kadar pengangguran golongan belia di Malaysia iaitu 10.8 peratus adalah jauh lebih tinggi berbanding Thailand, Singapura, Vietnam dan India.

“Kenaikan umur persaraan secara tidak langsung akan menutup sedikit pintu untuk golongan belia memasuki perjawatan awam.

“Sekiranya, cadangan umur persaraan kepada 65 tahun dilaksanakan sudah tentu golongan belia makin sukar untuk mendapat pekerjaan di dalam sektor awam,” dipetik daripada kenyataan itu.

Jelas Syahidulamri dan Fadhli, kadar pengangguran adalah salah satu kayu ukur untuk melihat sejauh manakah kesihatan ekonomi negara.

“Walaupun, indeks pengangguran negara masih pada paras rendah di bawah empat peratus, indeks ini diukur tanpa mengambilkira had umur, bangsa dan agama.

“Tanpa persaraan, ruang untuk pekerja baru khususnya para graduan untuk memasuki sesuatu sektor akan menjadi terhad.

“Kebimbangan yang paling ketara ialah apakah nasib anak-anak muda atau golongan belia sekiranya had umur persaraan dinaikan kepada 65 tahun,” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka berpendapat adalah jauh lebih baik jika kerajaan memikirkan kaedah untuk memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda atau cara untuk meningkatkan gaji bulanan golongan belia apabila mula bekerja.

“Lebih baik kerajaan mengkaji untuk menurunkan umur bersara kepada 55 tahun kerana sehingga kini masih ramai golongan belia yang belum mendapat pekerjaan walaupun sudah tamat pengajian di universiti sejak tahun 2013!,” kata Syahidulamri dan Fadhli lagi.