Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH seru pembangkang henti saling menyerang

Pemuda AMANAH Nasional menggesa para pimpinan dan penyokong parti AMANAH dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) di semua peringkat untuk berhenti daripada saling menyerang.

Naib Ketua Pemudanya, Kevin Shawn Gomez berkata, serangan antara satu sama lain tidak memberikan keuntungan kepada PH sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan.

“Dalam konflik yang berlaku sama ada dalaman mahupun luaran PH, AMANAH sentiasa mengambil sikap memupuk kesatuan dalam PH dan menyelesaikan segalanya di meja rundingan.

“Sepertimana dinyatakan oleh Presiden AMANAH, AMANAH sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden AMANAH Mohamad Sabu menegaskan sikapnya yang mahu mengukuhkan kerjasama politik dengan menambahkan kawan bukan lawan.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, beliau sama sekali tidak akan meninggalkan Tun Dr Mahathir yang pernah sepentas melawan kerajaan kleptokrat pada PRU14 atau Anwar Ibrahim yang bersama-sama bersusah payah dalam perjuangan sejak 20 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Kevin mengingatkan serangan harus dihalakan kepada Perikatan Nasional (PN) yang telah gagal menjaga kebajikan rakyat khususnya sewaktu negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Ribuan anak muda hilang pekerjaan, hilang punca pendapatan, perniagaan terpaksa ditutup dan pelbagai dampak negatif kesan pandemik tidak mampu ditangani oleh kerajaan PN.

“Perikatan Nasional hanya mampu beretorik dan memberikan idea-idea dangkal dalam menyelesaikan masalah rakyat,” tegasnya.

Dalam masa sama, Pemuda AMANAH, ujarnya, menyeru PH, Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bersama-sama meningkatkan persefahaman.

“Rakyat meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat pembangkang mempunyai persefahaman dan kesatuan yang kukuh dalam mengembalikan mandat rakyat,” tambahnya lagi.

Pertembungan kumpulan penyokong Mahathir dan Anwar ekoran Langkah Sheraton yang menamatkan hayat 22 bulan pentadbiran PH dilihat semakin tajam selepas Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di peringkat dasar melalui undian suara pada 26 November lalu.

Mahathir dan 12 Ahli Parlimen lain berdiri meminta undi belah bahagi terhadap RUU tersebut, sebaliknya Anwar selaku Ketua Pembangkang serta sebahagian besar Ahli Parlimen PKR dan DAP tidak berbuat demikian.

Akibatnya, rata-rata penyokong pembangkang hampa dan berang dengan pendirian Anwar dan kumpulan Ahli Parlimen terbabit hingga membawa kepada siri permohonan maaf daripada sebahagian pemimpin PH.

Dalam masa sama, penyokong Mahathir juga menempelak Anwar dan mempersoal sokongan 128 Ahli Parlimen yang didakwa diperoleh Pengerusi PH berkenaan sebelum ini.