Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH seru pembangkang ke meja rundingan

Pemuda AMANAH Nasional menyeru parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang untuk kembali ke meja rundingan selepas pembangkang gagal menolak Belanjawan 2021 sebelum ini.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, perbincangan terma kerjasama baharu perlu dilakukan demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kekuatan sebenar parti-parti pembangkang.

“Setakat hari ini, belum ada lagi mana-mana peruntukan kementerian yang mampu ditolak di peringkat jawatankuasa.

“Bahkan, pada setiap sesi undi belah bahagi, PH dan pembangkang lainnya hanya mencapai lingkungan angka antara 95 ke 97 sahaja.

“Kegagalan pembangkang dalam menolak belanjawan di peringkat jawatankuasa, memberi petunjuk bahawa segala yang pernah dikatakan sebelum ini langsung tidak menjadi kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Shazni berkata, momentum dan kekuatan baharu masih boleh dibina sekiranya semua parti pembangkang fokus dengan usaha mengalahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tegasnya, kerajaan PN jelas tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu keperitan hidup akibat pandemik Covid-19.