Pemuda Amanah siapkan Rumah Peduli Rakyat di Parlimen Sik

Pemuda Amanah siapkan Rumah Peduli Rakyat di Parlimen Sik

Pemuda Amanah Nasional sedang mengumpul dana untuk projek “Rumah Peduli Rakyat” kedua yang dijangka siap selewat-lewatnya tahun hadapan.

Ketua Pemuda Amanah Nasional Sany Hamzan berkata, format pembinaan rumah kedua ini hampir sama dengan rumah pertama yang telah berjaya disiapkan.

Rumah Peduli Rakyat merupakan salah satu projek Pemuda Amanah Nasional untuk membantu menyediakan tempat tinggal kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Rumah peduli rakyat yang dibina oleh Amanah di Sik.Kelmarin, presiden Amanah Mohamad Sabu merasmikan Rumah Peduli Rakyat yang pertama di Kampung Sri Dacing, Sik Kedah.

Projek tersebut dengan kerjasama Amanah Parlimen Sik dan Pemuda Amanah Kedah dengan perbelanjaan sekitar RM12,000.

“Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, bermula daripada fasa pengumpulan dana sehinggalah fasa pembinaan, seluruh cabaran itu berjaya ditempuh dengan jayanya hasil muafakat dan tekad yang utuh untuk melihat linangan air mata keluarga dhaif ini terhenti dan mampu mengukir senyum dengan terbinanya teratak sederhana sebagai tempat berteduh.

“Kejayaan ini pastinya membuahkan kepuasan yang amat besar kepada Pemuda Amanah yang sentiasa berusaha sehabis mampu agar anggota dan organisasi muda ini sentiasa dekat dengan nadi perjuangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, Pemuda Amanah berharap usaha berterusan bagi membela golongan miskin ini mampu mengangkat martabat berpolitik ke aras yang lebih tinggi dan memastikan mereka mengotakan apa yang dikata.