Pemuda AMANAH sifatkan pemberian ‘one off’ penyelesaian sementara

Mohd Sany Hamzan

Pemuda AMANAH Nasional berpandangan, Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah bersifat populis dalam usaha menarik sokongan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun hadapan.

Hakikatnya, bajet yang dikemukakan itu tidak membantu mengurangkan bebanan rakyat yang terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Demikian kata Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan, mengulas Bajet 2018 yang dibentangkan Najib di parlimen semalam.

Katanya, Perdana Menteri banyak menawarkan pemberian bersifat ‘one off’ dan ia tidak memberi faedah jangka masa panjang sebaliknya hanya seperti ‘panadol’ yang memberi kelegaan sementara.

“Ia sememangnya dilihat sangat menarik dan mampu mengkhayalkan rakyat tetapi ia bukanlah jawapan kepada persoalan yang terbelenggu oleh rakyat di semua peringkat ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, ibu segala permasalahan rakyat adalah cukai GST yang sangat memberi bebanan kepada rakyat apabila ia dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan kegunaaan seharian rakyat di dalam negara ini terutama golongan berpendapatan rendah.

“Namun dalam bajet tersebut, Perdana Menteri langsung tidak menyentuh mahupun menawarkan untuk pemansuhan ataupun pengurangan kadar cukai,” kata beliau.

Kerajaan juga tidak menawarkan untuk mengembalikan subsidi yang telah ditarik atas nama rasionalisasi subsidi termasuklah subsidi minyak, katanya.

“Harga minyak juga merupakan penyumbang kepada kenaikan kos semua perkara, namun harga bahan bakar itu ketika ini sangat tinggi dan membebankan rakyat.

“Bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri sangat berbeza dengan Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan Harapan yang dibentangkan dua hari lebih awal.

“Pakatan Harapan komited untuk mengurangkan bebanan rakyat termasuklah memansuhkan GST yang menjadi himpitan utama rakyat pada ketika ini,” sambungnya.

Kata beliau, Pakatan Harapan tidak menawarkan bajet bersifat ‘panadol’ sebaliknya komited melaksanakan dasar-dasar yang memberi penyembuhan sepenuhnya.

“Kami sangat yakin, rakyat tidak terpedaya dengan ‘gula-gula’ yang dibentangkan oleh Najib kerana mereka telah belajar daripada pengalaman terdahulu,” katanya.