Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH sihat fizikal, pupuk kesedaran jaga alam sekitar

Residen-Jeneral pertama untuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Frank Swettenham dalam bukunya, Malay Sketches yang diterbitkan pada tahun 1884 banyak menulis tentang keindahan alam semula jadi di Tanah Melayu selain melakarkan sikap dan keperibadian orang Melayu tentunya.

Dalam buku sebanyak 22 bab itu (diterjemahkan oleh Dr Zubaidah Ibrahim dari Universiti Malaya dengan tajuk Perihal Orang Melayu), Swettenham antara lain menulis keindahan tanah air kita:

“Kegemilangan waktu pagi di Timur, kesegaran dan wanginya bau hutan, kehangatan kawasan pamah dan lereng yang sentiasa hijau, di mana awan penuh sarat membawa hujan – di sinilah rumah kediaman orang Melayu, inilah latar belakang di mana ia berdiri.”

Dalam satu halaman lain, Frank Swettenham juga menulis:

“Pemandangan yang luar biasa permainya itu seolah-olah membuat kami mabuk dengan tegukan madu, dan dalam keasyikan seperti itu soal raja-raja, petanda, dan amaran-amaran dari jembalang semuanya dilupakan.”

Jika pegawai British yang menentang Malayan Union itu pun takjub dan menghargai keindahan alam semula jadi di tanah air ini, apa lagi anak bangsa Malaysia walaupun mungkin ‘wangi bau hutan’ hari ini mungkin tidak semerbak seperti dialami Swettenham lebih 130 tahun lalu.

Menantikan terbitnya matahari selepas menunaikan solat Subuh berjemaah di puncak ketiga Bukit Broga.

Seramai 22 anggota Pemuda AMANAH di peringkat Nasional, Selangor dan kawasan Hulu Langat serta wakil Malaysia Dateline berjaya menamatkan misi mendaki Bukit Broga di Semenyih, 27 Januari lalu.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mendahului kumpulan tersebut apabila tiba di puncak bukit berdekatan Negeri Sembilan itu pada jam 6 pagi selepas sejam mendaki.

Turut serta Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Kevin Shawn Gomez; Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Fauzi Hasim dan Ketua ARiF Selangor, Syamsudin Suriansah.

Memulakan pendakian ketika hujan sedikit rintik, kesemua peserta akhirnya berjaya mendaki ketiga-tiga puncak berketinggian sehingga 400 meter dari paras laut itu.

Malah, bekas Exco Pemuda AMANAH Nasional, Muriza Hazrul Abdul Muhi turut membawa dua anak perempuannya yang masih bersekolah rendah.

Muriza bersama dua anaknya juga tidak melepaskan peluang mendaki.

Kedua-dua pendaki cilik tersebut dilihat bertenaga lagi bersemangat semasa mendaki dan menuruni bukit yang menjadi tumpuan orang ramai itu.

Sejurus tiba di puncak ketiga Bukit Broga, para pendaki kemudiannya menunaikan solat Subuh berjemaah sebelum menyambut sinar terbitnya mentari pagi.

Bukan sekadar mendaki dan bergambar, aktiviti yang dirancang oleh Hasnul hanya dalam tempoh 24 jam itu juga berusaha memupuk kesedaran menjaga alam sekitar serta mengukuhkan silaturrahim sesama Pemuda AMANAH.

Sambil menuruni Bukit Broga, Pemuda AMANAH mengutip sisa plastik sepanjang laluan. Paling banyak ditemui ialah botol minuman dan bungkusan makanan plastik sekali gus bukti rendahnya kesedaran pengunjung dalam memelihara kelestarian alam semulajadi.

Hasnul dan anggota Pemuda AMANAH mengutip sampah plastik sepanjang menuruni Bukit Broga.

Hasnul yang juga Exco kerajaan negeri Perak dilihat agak lincah semasa mendaki mahupun menuruni Bukit Broga. Bahkan, ADUN Titi Serong tersebut pada usianya bakal mencecah 40 tahun, 16 Julai nanti ada ketikanya bersahaja melompat dari satu bongkah ke bongkah batu yang lain.

Walaupun Bukit Broga adalah pengalaman kali pertama baginya tetapi Hasnul sebelum ini sudah kerap mendaki Bukit Kledang berdekatan Ipoh.

Beliau berharap Pemuda AMANAH di seluruh negara tampil lebih cergas mengamalkan gaya hidup sihat serta pada masa sama menggiatkan aktiviti peduli rakyat di negeri dan kawasan masing-masing.

Hasnul dilihat cergas dan bertenaga semasa menuruni cerun Bukit Broga.

 

Fauzi (bercermin mata) dan anggota ARiF mengutip sisa plastik di puncak Bukit Broga.
Aktiviti mendaki secara tidak langsung memberi peluang kepada anggota Pemuda untuk mendekati kepimpinan.