Pemuda AMANAH sokong Anwar, sedia gempur PRK Port Dickson

Pemuda AMANAH sokong Anwar, sedia gempur PRK Port Dickson

Kepimpinan Pemuda bagi Parti Amanah Negara (AMANAH)  menyokong Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Pemuda Mohd Sany Hamzan berkata, Pemuda AMANAH menyambut baik pengisytiharan pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding sekaligus kembali ke Parlimen.

“Kembalinya Datuk Seri Anwar sebagai ahli Parlimen akan membantu ke arah melengkapkan pelan peralihan kuasa yang telahpun dipersetujui secara bersama oleh rakan-rakan komponen Pakatan Harapan melalui Muafakat Pakatan Harapan bertarikh 6 Januari 2018.

“Pemuda AMANAH Nasional melihat laluan kepada Datuk Seri Anwar untuk kembali ke Parlimen adalah sangat penting dan akan memberi impak yang besar kepada Parlimen khususnya dengan melihat kepada peranan beliau sebagai ketua pembangkang di sesi lalu sebelum dikenakan pertuduhan politik yang menghalang karier beliau.

“Menyedari keluhan sesetengah anggota masyarakat mengenai satu lagi pilihanraya kecil, Pemuda AMANAH Nasional ingin menegaskan bahawa ketokohan Dato Seri Anwar Ibrahim adalah sangat diperlukan ketika ini khususnya bagi membantu memulihkan negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sany yang juga Adun Taman Templer berkata,dengan semangat muafakat Pakatan Harapan, Pemuda AMANAH Nasional sebagai rakan komponen akan teguh bersama dengan muafakat tersebut dan bersedia menggempur Parlimen Port Dickson bagi membantu memenangkan Anwar.

“Sesungguhnya kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sekaligus melengkapkan Muafakat Pakatan Harapan yang telah mempersetujui Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8,” ujarnya.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0