Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH sokong Cuepacs isu gaji penjawat awam, swasta

Pemuda AMANAH Nasional menyokong gesaan Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan mempertimbangkan insentif dua kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Ketuanya Mohd sany Hamzan berkata, penjawat awam pada ketika ini berdepan dengan situasi yang sangat mencabar disebabkan tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup kesan daripada kegagalan kerajaan mengurus tadbir negara dengan baik.

Menurut beliau, kadar gaji yang mereka perolehi tidak lagi relevan dengan keadaan semasa negara terutama selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Kami berpandangan, pendapatan yang diperolehi oleh penjawat awam khususnya kategori B40 melibatkan seramai 62,000 tidak selari dengan kos sara hidup menyebabkan ramai di kalangan mereka terpaksa memikirkan sumber pendapatan sampingan bagi menampung kekurangan yang ada.

“Suasana ini sangat tidak baik dan akan memberi kesan yang besar kepada kualiti serta mutu kerja,” katanya dalam kenyataan.

Justeru Pemuda AMANAH Nasional melihat gesaan yang dibuat oleh Cuepacs adalah sangat bertepatan dan wajar diambil perhatian oleh kerajaan.

“Kami sangat yakin, kerajaan sangat berkemampuan untuk melakukannya sekiranya pentadbiran negara bebas daripada rasuah dan penyelewengan,” katanya.

Presiden Ceupacs Datuk Azih Muda berkata kenaikan gaji itu akan membantu meringankan beban penjawat awam yang berdepan kos sara hidup tinggi.

Sementara itu, Pemuda AMANAH Nasional juga turut menuntut agar kerajaan mengkaji semula kadar gaji minima pekerja sektor swasta di negara ini.

“Kami sangat mengambil perhatian serius kepada kelompok ini yang lebih merasai bebanan hidup ketika ini.

“Kami mengharapkan kerajaan menetapkan gaji minima yang wajar dan relevan dengan suasana semasa ekonomi di negara ini.

“Pekerja sektor swasta terutamanya sangat mengharapkan nasib mereka diambil perhatian yang setimpal,” katanya.